KUALA LUMPUR : Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi, 27, mengakui, single baharu berjudul You Are Not Alone (YANA) merupakan hasil ilham yang tercetus sejurus selepas kepulangannya dari Misi Gaza sekitar tahun 2019.
Menurut penyanyi bernama penuh Nur Hazwani Afiqah Helmi ini, berikutan itu, YANA adalah sebuah naskah istimewa buatnya hingga dipilih sebagai lagu debut sempena kemunculan solonya kini selepas duo bersama kakaknya, Heliza Helmi menerusi The Helmis.
“Lagu ini sudah lama iaitu dari 2019, waktu itu baru balik dari Mizi Gaza. Jadi, waktu itu terdapat ilham untuk katakan ‘you are not alone’. Ada seorang daripada kumpulan misi kami cakap apa kata buat lagu ‘you are not alone’.
“Jadi, waktu itu hanya ada melodi saja, lirik pun belum ada. Sehinggalah pada Ramadan tahun lepas iaitu pada 27 Ramadan, tiba-tiba teringat semula lagu ini. Ketika itu terus tulis lirik. Alhamdulillah, tak sampai 10 minit siaplah lirik lagu ini.
“Semangat juang anak Palestin yang mengalir, maka lagu ini juga turut lahir. Saya berdiri kuat sehingga kini, bukan kerana diri saya, tetapi kerana diri anak Palestin yang ada dalam diri saya,”katanya.
Jelas Hazwani, disebabkan itu, dia telah menjadikkanya sebagai inspirasi untuk menghasilkan sebuah lagu dedikasi kepada rakyat Palestin.
“Saya pulangkan semula semangat lagu ini kepada mereka. Oleh itu, dengan merenung diri saya dalam perjuangan dan kemenangan mereka, saya berasakan tanggungjawab yang mendalam untuk berkongsi mesej ini harapan dan daya tahan dengan dunia yang lebih luas,” katanya.
Selain itu, kata Hazwani, mesej yang ingin disampaikan menerusi YANA adalah isu-isu yang berlaku dalam kehidupan seharian seperti isu keluarga, suami isteri, perceraian, patah hati, gelandangan, kelaparan dan banyak lagi.
“Dalam konteks ini, perlu disedari bahawa persoalan-persoalan seumpama ini menimpa penduduk di Palestin dengan lebih mendalam dan mungkin membawa implikasi yang lebih besar pada kehidupan mereka sehari-hari.
“Dengan penekanan pada isu-isu ini, YANA berusaha untuk menggerakkan pemikiran dan perasaan masyarakat secara meluas agar mereka dapat lebih menghargai serta memahami cabaran yang dihadapi oleh individu dalam kehidupan sosial mereka.
“Itulah sebabnya, dalam konteks perbandingan, masalah yang diketengahkan ini diyakini membawa impak yang lebih mendalam kepada penduduk di Palestin, dan perlu disorot secara berterusan untuk membolehkan pemahaman dan empati yang lebih luas terhadap realiti kehidupan yang tidak dapat dielakkan itu.
“Ketahuilah kita tidak bersendirian dan kita tidak akan pernah membiarkan mereka sendirian,”ujarnya.
Hazwani turut memberitahu,naskhah YANA ini adalah projek sulung gabungan pelajar Latihan Industri (LI) di Nurflix yang terdiri daripada pelajar perfileman Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Yayasan Melaka jurusan Multimedia dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bidang Komunikasi.
“Video muzik ini diarahkan oleh Imran Hakim. Video muzik Virtual Production dengan latar belakang CyberPunk ini dihasilkan dengan menggunakan Unreal Engine bagi mencapai impian saya dalam penerbitan music YANA.
“Untuk benar-benar menghayati maksud lagu ini, penonton perlu menonton video muziknya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Lagu ini adalah satu ungkapan dari hati saya yang ingin berkongsi inspirasi dan pengalaman yang mendalam,” katanya.
Lagu You Are Not Alone telah dilancarkan secara rasmi di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBOX, dan Deezer.
Serentak itu, video muzik terbitan Nurflix Production Sdn Bhd itu juga boleh disaksikan di saluran YouTube peribadinya iaitu The Helmis.