Keadaan saya 'fragile', perlu elak jatuh sakit - Along Eyzendy - Utusan Malaysia

Keadaan saya ‘fragile’, perlu elak jatuh sakit – Along Eyzendy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR :Pelakon dan aktivis teater, Along Ezyendy, bersyukur tahap kesihatannya semakin baik selepas menjalani pembedahan buah pinggang pada April 2021.

Menerima buah pinggang daripada isterinya, Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz bagaimanapun berkata, dia perlu menjaga kesihatannya dengan baik dan mengelak daripada jatuh sakit kerana mudah dijangkiti penyakit terutama demam dan selsema.

“Alhamdulillah, bacaan buah pinggang, gula dan kolesterol okay. Cuma, saya dinasihatkan oleh doktor tidak boleh naik berat badan, tak boleh stres atau down, sebab semua itu semua akan menganggu bacaan buah pinggang saya.

“Sebab buah pinggang saya daripada isteri, kalau nak tahu buah pinggang lelaki dan perempuan ini lain. Buah pinggang perempuan kecil sikit daripada lelaki. Misalnya saya demam, batuk atau selesema sekali pun, ia akan ambil masa yang lama untuk sihat.

“Doktor nasihat saya kena berhati-hati, keadaan saya ini mudah sangat dijangkiti penyakit,” katanya ketika ditemui di sidang media teater Dang Anum di Park In By Radisson Putrajaya, semalam.

Berkongsi lebih lanjut, Along turut memaklumkan sehingga kini dia masih perlu mendapatkan rawatan susulan selain bergantung pada ubat-ubatan seumur hidup.

“Memang saya wajib ada rawatan susulan, malah ubat juga saya makan untuk seumur hidup. Saya kena makan ubat itu supaya buah pinggang yang saya terima itu tidak mengalami ‘rejection’.

“Sebagai contoh, ada bendasing dalam badan kita, antibodi kita akan kesan benda itu dan serang sampai berlakunya kegagalan. Jadi, saya kena makan ubat itu supaya antibodi saya tidak serang benda itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Along berkata, dia perlu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan sekiranya mengalami demam yang agak serius.

“Kena hujan sikit pun saya dah risau, jadi takut. Orang biasa kalau demam atau selsema, mungkin hanya sehari dua dan lepas itu baik. Tapi macam saya, bila dah ‘fragile’ macam ini, bila kena selsema akan jadi seminggu.

“Lepas itu akan batuk, demam dan sakit urat… jadi berpanjangan. Malah, kalau saya demam yang agak serius, saya kena terus pergi hospital dan kena tahan wad untuk kembali sembuh,” katanya lagi.

Pada 2019 ketika meraikan ulang tahun kelahiran ke-40, dia menjalani pemeriksaan kesihatan dan doktor memaklumkan buah pinggangnya rosak dan hanya 19 peratus berfungsi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN