KUALA LUMPUR : Isteri kepada MK iaitu Siti Hajar selamat melahirkan bayi perempuan semalam sekali gus menyaksikan penyanyi rap dan pelakon tersebut bergelar seorang bapa kini.
Berkongsi berita gembira itu, MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin, 28, kemudiannya meluahkan rasa syukur kerana isteri dan bayi perempuannya berada dalam keadaan selamat dan sihat.
“Alhamdulillah Ya Allah! Hari ini 3 Ogos 2024 isteri saya (Hajar) selamat melahirkan seorang puteri.
“Ini anugerah terbesar daripada Allah,” katanya.
MK berkongsi berita gembira itu menerusi satu hantaran di Instagram miliknya semalam.
Selain itu, menerusi hantaran Instagram Story isterinya, wanita berkenaan sempat menulis bahawa tarikh lahir cahaya mata pertama mereka itu sama dengan Allahyarham bapanya, Datuk Seri Dr Sheikh Nordin Sheikh Ahmad.
“Baby nak sama tarikh dengan arwah Tok Abah dia. Kalau arwah Tok Abah ada, mesti dia gembira sama tarikh lahirnya, 3 Ogos,” tulis Siti Hajar.
Menjengah ke ruangan komen rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada MK dan isteri.
Malah mereka mendoakan supaya pasangan ini mampu menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa dengan baik.
MK sebelum ini beri gambaran bakal timang cahaya mata pertama sempena hari jadi.
“Alhamdulillah, tak sabar nak tengok MK dan Hajar junior.
“Syukur, semoga bayi dan ibu sihat selalu.
“Tahniah MK dan Hajar, semoga urusan selepas ini sebagai ibu dan bapa dipermudahkan,” tulis netizen di ruangan komen.
Untuk rekod, MK dan Hajar bernikah pada 16 Jun tahun lalu di Ampang, Selangor.