KUALA LUMPUR : Selepas berteka-teki mengenai jantina zuriat pertamanya, pelakon, Intan Najuwa, mendedahkan dia dan suami, Datuk Ahmad Azraf Azman, bakal menimang cahaya mata perempuan tidak lama lagi.
Perkara itu dikongsikan Intan menerusi satu hantaran di Instagramnya hari ini sempena menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-27.
Intan atau nama sebenarnya, Intan Najuwa Abdul Wahid berkongsi satu rakaman video yang memaparkan dia dan suaminya sedang tersenyum sambil memegang sebiji gelas.
Gelas itu kemudiannya ditekup ke atas sebiji kek berbentuk hati yang berwarna putih dan merah simbolik kepada jantina bayi yang sedang dikandungnya itu.
“Kami bakal menimang cahaya mata perempuan. Ini adalah hadiah paling bermakna,”katanya.
Intan mendirikan rumah tangga bersama Datuk Ahmad Azraf Azman pada 18 Ogos tahun lalu.
Intan sebelum ini memberitahu mahu berehat daripada dunia seni buat sementara kerana ingin memberi fokus kepada urusan rumah tangga.