KUALA LUMPUR: Pelakon, Uqasha Senrose, menafikan dirinya terpalit dengan dakwaan segelintir pihak bahawa dia adalah pelakon yang telah memukul pembantu peribadi baru-baru ini.
Menganggap tohmahan itu sebagai tidak berasas, kata Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, dia hanya sibuk menguruskan anaknya sekali gus tidak kaitan dengan tuduhan berkenaan.
‘Debik’ (pukul) PA (pukul pembantu peribadi)? Biar betul? Saya di rumah dengan anak sahaja.
“Ingat saya gengster sangat nak ‘debik’.
“Saya dengan anak 24 jam nak pergi ‘debik’ orang dah kenapa,” katanya menerusi siaran langsung TikTok semalam.
Sebelum ini, media melaporkan kisah pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita yang ditahan polis atas tuduhan mencuri barangan kemas majikannya. Hasil siasatan polis menemui barang kemas di kediaman wanita itu.
Difahamkan, wanita sama turut membuat laporan polis mendakwa dicederakan dan diugut gara-gara mencampuri urusan rumah tangga majikannya yang dikatakan berdepan masalah.
Susulan kejadian itu, ramai netizen memetik nama Uqasha sebagai pelaku utama. – UTUSAN