KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara, Lee Zii Jia menghadiahkan raket serta ‘shuttlecock’ (bulu tangkis) kepada pelakon Hairul Azreen dan anak perempuannya, Alisa Aisyah.
Menerusi perkongsian di Instagram Story Hairul, Lee Zii Jia memberitahu raket dan ‘shuttlecock’ tersebut digunakan semasa kemenangan pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 di Paris, Perancis, baru-baru ini.
“Bronze medallist punya perlawanan. Ada dua (raket) tapi salah satunya adalah ini. Sudah pasti,”katanya.
Sementara itu, menurut Hairul, dia berhasrat untuk membingkaikan raket tersebut sebagai tanda kenangan manis.
“Ini kena frame lah,”katanya.
Selain itu, Alisa juga menunjukkan hadiah bulu tangkis itu yang mempunyai label ‘Paris 2024’.
Dalam hantaran lain, Lee Zii Jia sedang menikmati nasi lemak dan teh ‘o’ ais yang menjadi juadah kegemarannya selepas pulang dari Paris.
Terdahulu, Lee Zii Jia pernah datang ke rumah Hairul dan Hanis Zalikha untuk memberi kejutan buat Alisa yang sangat meminati pemain badminton perseorangan negara itu.
Malah ketika perlawanan badminton di Olimpik Paris 2024, Alisa turut memberi sorakan buat Lee Zii Jia.
Sekadar info, Lee Zii Jia berjaya merangkul pingat gangsa dalam kategori perseorangan lelaki selepas menewaskan jaguh India, Lakshya Sen dengan mata 13-21, 21-16, 21-11.