Filem pendek Kita Kan Sama terap mesej perpaduan, persahabatan - Utusan Malaysia

Filem pendek Kita Kan Sama terap mesej perpaduan, persahabatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penerbit, Said Saiful Fazli Said Alwi, tidak menolak bahawa filem pendek berjudul Kita Kan Sama merupakan sebuah naskhah yang diinspirasikan daripada kisah sebenar membabitkan dirinya sendiri sebagai naratif jalan cerita.

Menurut Said, kisah peribadinya diangkat ke filem pendek kerana percaya pengalamannya itu sesuai dengan konsep dan semangat perpaduan masyarakat yang mempunyai pelbagai kaum, seiring dalam meraikan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Saya mahu membawa mesej yang jelas. Sewaktu kecil kanak-kanak berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan status. Namun ia semakin menghakis apabila kita membesar.

“Saya mahu tonjolkan mesej kegembiraan yang disemai menerusi persahabatan ini kerana terlalu banyak isu perkauman yang muncul kebelakangan ini. Apa yang ingin saya tekankan menerusi filem pendek ini, walau apa jua bangsa, darah kita tetap merah, kita hidup di atas tanah yang sama.

“Walau berbeza bahasa, namun kita boleh hidup harmoni. Ini adalah usaha kami untuk membawa perpaduan dalam kalangan masyarakat, bukan sekadar promosi produk semata-mata,”katanya.

Selain itu, jelas Said, dia berharap menerusi naskhah filem pendek ini, mesej penting itu dapat disampaikan dengan baik kepada masyarakat secara menyeluruh.

“Saya berharap dapat menyampaikan bahawa persahabatan dan kasih sayang adalah unsur yang paling penting dalam membina semangat perpaduan dalam membentuk negara yang bersatu padu.

“Filem pendek ini juga bertujuan untuk mengajak semua rakyat Malaysia merenung kembali nilai-nilai yang telah menyatukan kita semua selama ini,” katanya.

Filem ini menyoroti pengalaman peribadi Said yang dibesarkan dalam suasana kampung yang harmoni.
Sama seperti majoriti kanak-kanak lain di kampungnya, Joe (nama layar) membesar dengan gaya hidup sebagai anak Melayu dan mengamalkan cara hidup sebagai masyarakat Melayu.

Namun, ketika Joe mengetahui asal-usulnya yang sebenar, beliau berhadapan dengan cabaran untuk menerima identiti barunya.

Realiti bahawa beliau berketurunan India telah memberi satu kejutan pada diri. Perkara tersebut turut mempengaruhi hubungannya dengan rakan-rakan dari pelbagai kaum.

Bagaimanapun Kita Kan Sama membawa mesej yang kuat tentang pentingnya perpaduan dan kesamaan, serta bagaimana perbezaan budaya dan kaum sepatutnya menjadi kekuatan, bukannya halangan.

Filem pendek ini boleh ditonton di saluran Youtube, Tik Tok, Facebook dan Instagram Choco Albab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN