Filem lambat keluar memang cara Syamsul Yusof- Rosyam Nor - Utusan Malaysia

Filem lambat keluar memang cara Syamsul Yusof- Rosyam Nor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM tempoh setahun ini sahaja, filemografi dan perkembangan kerjaya penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor, semakin meriah. Selepas Cikgu Sunan dalam Memoir Seorang Guru, politikus rakus dalam I.D dan Yacob dalam X-Change, ramai sudah mula menantikan sosoknya sebagai gengster.

Tidak hanya peminat, malah Rosyam sendiri juga teruja memaklumkan filem The Original Gengster yang sudah dicanang pembikinannya lebih dua tahun lalu akan menemui khalayak tidak lama lagi. Namun begitu, masih belum ada kepastian tarikh tayangan naskhah arahan Syamsul Yusof itu.

Jawapan singkat itu bagaimanapun seolah memberi kelegaan kepada peminat filem tempatan yang mula ragu dan tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada filem berkenaan sehingga mengambil masa terlalu lama untuk disempurnakan walaupun berita mengenainya sudah pun dikongsikan beberapa tahun lalu.

“Saya faham, itu memang cara kerja Syamsul Yusof. Normal bagi dia untuk ambil masa yang lama kerana dia seorang yang mementingkan kesempurnaan.

“Ramai sudah tahu bahawa Syamsul kalau buat filem memang makan masa sampai dua tahun, kadang sampai dua tahun setengah.

“Cuma, saya boleh kata, bila naskhah itu sudah keluar nanti memang kita akan berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Rosyam ditemui Utusan Malaysia di majlis sambutan ulang tahun kedua ST Rosyam Mart cawangan Sungai Buloh, di sini, baru-baru ini.

Melihat kepada respons peminat yang menantikan tayangan The Original Gengster, Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 berharap naskhah itu akan mencipta fenomena tersendiri tahun ini.

The Original Gengster adalah cerita serta watak baru yang dicipta tanpa mempunyai kaitan dengan mana-mana filem genre serupa yang pernah diterbitkan di Malaysia. Selain itu, ia juga menjadi filem kedua Syamsul bekerjasama dengan rumah produksi berbeza tanpa membabitkan Skop Productions.

“Setakat ini kita boleh lihat Syamsul mempunyai rekod baik dalam menghasilkan filem.

“Semua karyanya meletup. Bila sudah ramai menantikan filem ini, saya juga berharap ia akan mencipta kejayaan. Itulah harapan saya sebagai seorang pelakon,” jelasnya yang turut bekerjasama dengan barisan pelakon seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Adi Putra, Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy dan Sharnaaz Ahmad untuk filem itu.

Bakal buka pusat beli-belah

Dalam perkembangan lain, Rosyam tidak ketinggalan memastikan perniagaan yang diusahakannya akan menjadi lebih kukuh.

Selepas mempunyai enam pasar raya ST Rosyam Mart, kini pelakon Bara itu bakal membina sebuah kompleks beli-belah tahun hadapan.

Menggunakan nama ST Rosyam Mart, Rosyam bakal bekerjasama dengan lebih ramai usahawan tempatan termasuk selebriti bagi mengetengahkan produk mereka dalam sektor peruncitan.

“Tahun hadapan kami akan buka ST Rosyam Mall yang pertama. Tetapi saya belum boleh dedahkan dengan terperinci maklumat di mana lokasinya dan sebagainya.

“Apa yang akan dijual di situ nanti berbeza dengan apa yang ada di ST Rosyam Mart. Saya mahu menggalakkan usahawan tempatan yang mempunyai produk untuk bersama-sama dengan kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN