KUALA LUMPUR : Bekas suami pelakon popular, Nora Danish, iaitu Nedim Nazri, memberi bayangan kepada warganet seolah-olah dia masih merindui bekas isterinya itu di media sosial.
Ia menerusi tindakannya memuat naik sebuah lagu sedih berjudul Dipaksa Berpisah yang dipercayai didedikasikan kepada Nora.
Tidak cuma itu, menerusi hantaran yang sama, Nedim juga menulis dan mendoakan kebahagiaan bekas isterinya itu sekali gus memberi bayangan masih belum berhenti berharap untuk kembali bersama dengan Nora.
“Lagu ini hanya untuk awak sayang, Nora Danish.
“Saya doakan awak bahagia. Kalau dengan saya, Alhamdulillah tetapi jika tidak, awak adalah cinta dalam hidup saya,” katanya dalam InstaStory hari ini.
Difahamkan, lagu Dipaksa Berpisah merupakan single terbaharu milik penyanyi Indonesia, Yan Josua.
Menerusi hantaran berbeza, Nedim juga meminta orang ramai mengulang siar perkongsian tentang lagu tersebut sekiranya mempunyai rasa sayang terhadapnya.
Kalau anda ada rasa ‘cinta’ terhadap saya, tolonglah ulang siar dan tag saya,” ujarnya.
Sementara, Nora pula hanya mengulang siar perkongsian Yan Josua dan mendoakan kejayaan buat penyanyi tersebut.
Pada 19 Jun lalu, Nora dan Nedim sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia tiga tahun.