KUALA LUMPUR : Pelakon dan usahawan popular, Wawa Zainal mendedahkan dia pernah menjadi mangsa penghinaan fizikal atau body shaming sewaktu berada di bangku sekolah.
Menurut Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 32, ketika itu, dia sudah menganggap perkara itu biasa dan memilih untuk mengabaikan kata-kata hinaan berkenaan walaupun pada mulanya berasa tersinggung.
“Kalau cakap pasal buli, saya pernah sahaja kena. Waktu zaman sekolah dulu saya diejek miliki ‘telinga Astro’. Itu memang perkara biasa. Ada juga kata buruk dan hodoh.
“Saya abaikan sahaja walaupun adalah ambil hati tapi malas nak layan,” katanya.
Sementara itu, suami kepada Wawa iaitu pelakon dan usahawan Aeril Zafrel berpendapat, gejala buli yang berlaku di sekolah itu meninggalkan kesan terhadap mereka sehingga melangkah ke alam dewasa.
“Orang yang kutuk-kutuk kita ini selalunya kita ingat sampai dah dewasa. Tapi kalau kata-kata budak sekolah ini tak jadi motivasi pun.
“Ia membuatkan kita ingin berubah jadi lebih baik dan sekadar kenangan zaman persekolahan sahaja,” jelasnya.
Untuk rekod, Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada 2013.
Pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 10, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 8, Ayya Soffya, 4, dan Muhammad Fahri, 3 tahun.