Demi watak Keluang Man, Nas-T elak makan nasi - Utusan Malaysia

Demi watak Keluang Man, Nas-T elak makan nasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Nas-T, mengakui sanggup mengamalkan diet yang ketat bagi menggalas tanggungjawab dan menjayakan watak utama filem Keluang Man.

Menurut Nas-T atau nama sebenarnya, Nas Muammar Zar Nasruddin, 40, dia perlu berbuat demikian bagi mengekalkan berat badan ideal supaya dapat disesuaikan dengan ukuran sut.

“Saya lakukan persiapan untuk filem sudah masuk 10 bulan iaitu sejak saya disahkan untuk watak ini sehinggalah sekarang. Sebabnya kostum itu ada ukuran dan saya kena ikut ukuran dan kekalkan berat badan ini sampai selesai promosi filem.

“Sekarang sudah masuk 10 bulan saya diet, saya tak ambil makanan berkarbohidrat, saya ambil protein saja dan ia akan berterusan sampai filem ini selesai ditayangkan tahun depan. Inilah pengorbanan saya.

“Pada awalnya agak sukar nak sesuaikan diri, tapi bila lama-lama saya sudah terbiasa tidak makan nasi. Jadi sekarang okey saja, tengok nasi pun tak ada rasa nak makan. Jadi rasa pelik sebab sudah 10 bulan tak makan,” katanya yang ditemui di Majlis Pelancaran Sut Rasmi Keluang Man di Incircle Event Space, di sini, semalam.

Selain itu, Nas-T berkata, dalam tempoh 10 bulan ini juga dia tidak mengambil sebarang tawaran lakonan lain semata-mata mahu memberikan hasil terbaik dalam naskhah arahan Anwari Ashraf Hashim ini.

“Untuk Keluang Man ini jadual saya padat, jadi saya tiada selit yang lain dan saya terpaksa tolak tawaran lain. Tapi saya tolak secara baik. Saya hanya fokus pada Keluang Man. Ini adalah projek lama yang saya pernah buat.

“Bagi saya ini adalah periuk nasi saya dan karier saya jadi saya ‘push’ diri saya untuk beri yang terbaik. Kalau bagi yang terbaik itu memerlukan saya jaga makan, saya akan buat. Lagi pun saya sudah biasa jadi bukan penyeksaan pun bagi saya untuk buat semua ini,” katanya.

Dalam masa sama, Nas-T akui bayaran yang diterima untuk menjayakan komitmennya sebagai Keluang Man berbaloi dengan pengorbanan yang dilakukan.

“Tapi saya buat bukan sebab duit, saya buat sebab jenama Keluang Man sebab dari awal lagi memang saya nak projek ini. Bukan diberi tapi saya sendiri datang ujibakat. Kiranya mimpi saya jadi kenyataan apabila dapat menjayakan watak ‘superhero’ ini,” katanya.

Keluang Man adalah siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an. Filem aksi superhero ikonik Malaysia sudah memulakan penggambaran pada 4 Mei lalu dan baru sahaja tamat sesi penggambaran dan kini dalam fasa pasca produksi.

Penggambaran dijalankan di sekitar Lembah Klang serta lokasi yang sinonim dengan animasi Keluang Man iaitu Kluang, Johor.

Filem arahan pencipta bersama trilogi filem Polis Evo, yang juga pengarah ldrama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf ini turut membariskan pelakon seperti Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya