KUALA LUMPUR: Pengerusi Karyawan yang juga penyanyi legenda, Datuk Khadijah Ibrahim, 65, berharap kerajaan dapat memberi pengiktirafan kepada penyanyi tersohor, Anita Sarawak, 72, atas sumbangan beliau kepada dunia seni tanah air.
Kata penyanyi yang mesra disapa Ibu Khaty itu, jasa Anita atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohd. Taib sebagai penghibur tempatan yang disegani, sudah masanya diiktiraf dan diberi penganugerahan.
“Pada saya, beliau sudah sepatutnya dianugerahkan gelaran. Apa pengiktirafan sekali pun, Tan Sri, Datuk, Datuk Seri bahkan biduanita. Beliau sememangnya sudah cukup layak.
“Artis seangkatannya seperti Noor Kumalasari dan Uji Rashid juga layak menerima penghargaan sedemikian. Mereka ini primadona Malaysia. Sebagai rakan, saya amat menyayangi mereka.
“Saya harap mereka diberi pengiktirafan, terutama Anita. Mungkin satu masa nanti, kita dapat melihat beliau kembali menghiburkan kita,” katanya dalam sidang akhbar Festival Muzik Vit’s – Konsert Telan Kaset 90-an.
Konsert tersebut dijadual pada 12 dan 13 Oktober ini di Padang Timur, Petaling Jaya.
Sebelum ini timbul spekulasi yang mengaitkan kehilangan Anita dalam dunia seni kerana kesihatannya yang kian merosot.
Namun spekulasi itu sebelum ini disangkal Noor Kumalasari yang memaklumkan kakaknya tidak sakit seperti didakwa.
Khadijah dalam pada itu memaklumkan sering mengikuti perkembangan semasa Anita yang sekian lama menghilang diri daripada radar seni sejak 14 tahun lalu.
Katanya, dia gembira kerana sahabat baiknya itu kini dalam keadaan baik dan tenang menikmati kehidupan di samping suami beliau, Mahathir Abdullah.
“Saya ada bertanyakan kepada Noor Kumalasari mengenai perkembangan kakaknya itu. Katanya, Anita dalam keadaan baik.
“Kita maklum, Anita seorang yang menjaga privasinya. Jadi kita tidak perlu terlalu mengorek hal peribadi beliau.
“Saya harap cerita-cerita yang digosipkan mengenai beliau, tidak benar. Saya tidak suka spekulasi tentang beliau dicanang. Saya katakan kepada Noor Kumalasari, cukup saya tahu yang beliau okey,” kongsinya. – UTUSAN