KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer, Sissy Iman, menganggap tiada apa yang perlu disembunyikan mengenai hubungannya dengan Naim Danial memandangkan selama ini ramai tahu mereka adalah bersaudara selain merupakan rakan industri.
Disebabkan itu, kata Sissy atau nama sebenarnya, Sissy Imann Mohamad Kamil, 28, dia tidak faham mengapa ada pihak menyangka dia menjalin cinta dengan Naim hanya kerana kelihatan akrab dengan penyanyi dan pelakon tersebut.
“Kami ini sudah bertahun-tahun rapat dan hubungan itu semakin akrab selepas kerap bekerjasama dalam pelbagai projek termasuk program realiti Famili Duo tahun lalu.
“Lucu juga sebab perkara ini kembali timbul sebab saya cuma boleh jelaskan kami tiada apa-apa hubungan melainkan saudara dan teman seperjuangan.
“Mungkin sebab saya dan Naim kerap dilihat bersama membuatkan ada yang salah faham. Tapi tak mengapalah, ini asam garam dunia hiburan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran BeCalm Cookies, baru-baru ini.
Sissy juga menjelaskan penampilannya bersama Naim membawa lagu berjudul Titik Mula sempena persembahan Sissy Imann The Showcase pada 28 Julai lalu itu juga sekadar penjiwaan persembahan.
Selain itu, Sissy tidak menolak kemungkinan ramai melihat mereka berdua dengan lebih kerap berikutan pembikinan album mini yang kini dalam fasa akhir untuk disempurnakan.
“Album mini itu nanti memuatkan enam lagu dan Titik Mula mungkin dilancarkan sebagai single pertama kami,” ujarnya.
Terdahulu, spekulasi hubungan cinta pasangan terbabit hangat diperkatakan apabila Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 26, mengakui hatinya ditambat seorang teman seperjuangan dalam industri hiburan.
Biarpun penyanyi Sumpah itu tidak mendedahkan identiti wanita misteri terbabit, netizen membuat andaian individu dimaksudkan adalah Sissy.
Selain kerap dilihat keluar bersama-sama, spekulasi juga semakin meliar apabila mereka dikatakan pernah bercuti di Bangkok, Thailand bersama rakan artis.