Allahyarham Jay Jay sangat beradab, ingat nilai persahabatan - Liza Hanim - Utusan Malaysia

Allahyarham Jay Jay sangat beradab, ingat nilai persahabatan – Liza Hanim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Liza Hanim, 45, menyifatkan Allahyarham Jay Jay bukan sahaja seorang abang, bahkan seorang yang sangat menghargai nilai persahabatan.

Berkongsi pengalaman yang dilaluinya, Liza berkata, Allahyarham Jay Jay pernah meraikan ulang tahun kelahirannya ketika mereka sama-sama menjayakan sebuah persembahan sekitar 20 tahun.

“Persembahan itu berlangsung pada hari ulang tahun kelahiran saya. Masa itu, saya keluar makan sekejap, jadi kembali ke hotel, rupa-rupanya arwah datang ke depan pintu bilik untuk beri kejutan.

“Dia bawa sebiji kek tetapi saya pula tak ada ketika itu di bilik. Maka dia tinggalkan kek tersebut di lobi hotel. Bila saya balik, terkejutlah tiba-tiba dapat kek.

“Saya hubungi dia dan minta maaf. Itu adalah kenangan terindah yang saya ingat. Tak sangka ingatannya sampai ke tahap itu sedangkan saya tak pernah minta pun dia belikan kek,”katanya.

Liza berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Sidang Media Malam Amal Tabung Pahlawan 2024 di Wisma Perwira, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini, hari ini.

Selain itu, penyanyi Getaran Cinta Di Jiwa ini berkata, dia terkilan kerana tidak sempat menziarahi penyanyi legenda itu ketika dia terlantar di hospital sebelum ini.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan dia adalah pada tahun lepas dalam sebuah majlis Gegar Vaganza. Bila dapat tahu dia sakit memang ada bercadang nak ziarah tapi tak sempat sebab kesibukan jadual kerja.

“Rasa ralat juga tetapi nak buat macam mana sudah tiba masanya,”katanya yang meminati lahu berjudul Joget Angan Tak Sudah nyanyian Allahyarham.

Sementara itu, Liza menambah, dia mengagumi keperibadian Allahyarham yang sangat beradab tinggi.

“Dia tak perlu nak berikan nasihat atau tips. Cukup sekadar kita melihat pelakuannya. Tingkah lakunya sudah cukup dijadikan contoh.

“Dia sebagai seorang abang dan lebih tua daripada kita tetapi cara dia melayan kita walaupun pangkat adik, kita pula yang rasa segan,”katanya.

Terdahulu, Jay Jay meninggal dunia di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 9.27 malam kelmarin akibat komplikasi kegagalan organ dalaman.

Pada 23 Mei lalu, Allahyarham menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Jun lalu, dia mengalami lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar.

Jay Jay yang juga bekas penyanyi kumpulan Carefree sudah aktif menyanyi pada era 1970-an dan popular dengan lagu-lagu seperti Rindu Bayangan, Joget Angan Tak Sudah, Cukuplah Sekali, Kenangan Taman Cinta dan banyak lagi.

Jay Jay meninggalkan seorang balu, Zaitoon Wahid, 61, empat anak dan enam cucu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya