Vijay LLB The Advocate, filem harapan Uthaya - Utusan Malaysia

Vijay LLB The Advocate, filem harapan Uthaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyampai radio Raaga dan penerbit, Uthaya, mengakui bukan mudah menghasilkan sebuah filem yang menyelitkan gabungan elemen drama dan thriller luar biasa demi memberi kepuasan kepada penonton.

Ia dibuktikan menerusi penghasilan karya filemnya yang berjudul Vijay LLB The Advocate yang juga merupakan filem Tamil tempatan pertama yang membongkar kisah di sebalik tabir mahkamah.

“Sebagai filem Tamil tempatan pertama yang membongkar kisah di sebalik tabir mahkamah, filem ini menggabungkan elemen drama dan thriller yang luar biasa.

“Ia bukan sahaja mempersembahkan ‘pergolakan’ dalam mahkamah ke layar perak tetapi juga membawa perspektif realiti kehidupan yang jarang-jarang dibicara.

“Selain itu, meskipun tajuknya memberi gambaran mengenai dunia perundangan, saya boleh berikan jaminan bahawa Vijay LLB The Advocate menjanjikan lebih daripada sekadar naratif peguam,”katanya.

Selain itu, jelas Uthaya yang turut memegang watak utama sebagai Vijay, filem ini bukan sahaja mempunyai plot yang menarik tetapi juga menyelitkan beberapa mesej penting untuk renungan penonton.

“Saya juga yakin, filem ini bukan sahaja menimbulkan rasa dramatik tetapi juga akan membuatkan penonton berdebar-debar untuk mengetahui apa yang bakal berlaku dalam setiap babak seterusnya.

“Malah, deretan plot suspen dalam filem ini turut pasti akan membuatkan penonton tidak ‘senang’ duduk. Lebih menarik lagi, kami juga menampilkan kumpulan orkestra berprestij dari Hungary, Budapest Philharmonic bagi memberi kepuasan muzik dan runut bunyi kepada penonton,”katanya.

Filem berdurasi 2 jam 5 minit ini dijangka akan mencipta fenomena dalam landskap perfileman tempatan, terutamanya dengan gabungan komposer muzik terkenal dari India, G. V. Prakash Kumar.

Sebagai kelainan, tiga hari sebelum filem arahan M. Mathialagan itu ditayangkan, iaitu pada 28 Julai, 1,111 penonton diberi peluang menonton filem itu lebih awal menerusi Gala Premiere Show di MBO Quayside Mall, Shah Alam.

Diadaptasi daripada kisah sebenar sebuah novel dan disesuaikan dengan sentuhan elemen tempatan, plot penceritaan Vijay LLB The Advocate bermula dengan kisah pembunuhan seorang pelajar kolej dan susulan kejadian itu seorang pensyarah bernama Venthan dikaitkan dengan insiden itu.

Walaupun bukti dan keterangan saksi di mahkamah menunjukkan Venthan sebagai pembunuh, namun ia tidak menyakinkan Vijay.

Terpanggil untuk merungkai kebenaran di sebalik pembunuhan tersebut, Vijay merasakan dia mempunyai tanggungjawab disebabkan Venthan adalah sahabat lama dari zaman kanak-kanak, walaupun mereka sudah lama tidak berhubung.

Apakah Vijay akan membongkar kebenaran yang tersembunyi di sebalik misteri pembunuhan ini? Saksikan perjalanan mendebarkan ini di pawagam berhampiran mulai 1 Ogos.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN