PUTRAJAYA : Pelakon, Nad Zainal, 34, menyangkal dakwaan bahawa suaminya, Ungku Ismail Aziz, 39, mengongkong kerjaya seni dan kehidupannya sejak mereka mendirikan rumah tangga pada 23 Januari tahun lalu.
Bercakap kepada pemberita, Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin berkata, mengenali Ungku, lelaki tersebut tidak seperti disangkakan sebaliknya suaminya itu banyak memberikan bimbingan dalam menentukan hala tuju hidup.
“Tak adalah mengongkong atau apa, okey sahaja. Kalau mengongkong itu kita akan rasa tertekan dan terbeban, tetapi ini biasa sahaja normal macam pasangan suami isteri lain.
“Semasa hamil, memang saya kurang aktif tetapi masih ambil tawaran berlakon. Kemudian, selepas bersalin saya berlakon semula. Bagi saya, itu bukan mengongkong. Sebaliknya dia sekadar mengingatkan diri ini,”katanya.
Nad berkata demikian ketika ditemui pada acara Bazar Hujung Minggu di Hotel Park Inn By Radisson Putrajaya, hari ini.
Pada acara tersebut, Nad bersama suami menyertai 50 peniaga kecil lain bagi bersama-sama menjayakan program julung kali anjuran hotel tersebut.
Selain itu, Nad berkata, dia selesa dengan cara Ungku kerana menganggap dirinya mampu membentuk dirinya untuk menjadi seorang wanita yang lebih bertanggungjawab.
“Saya juga suka kalau ada orang yang melentur saya. Tak bermakna kalau sudah berkahwin tak boleh berlakon. Sebab hidup saya kini semakin banyak dah berubah, semakin tenang berbanding dahulu.
“Saya perlukan orang yang faham situasi saya sebagai ibu dan pelakon. Dia (suami) adalah individu yang faham akan keadaan ini kerana dia juga seorang pelakon. Jadi mudah untuk kami mencorak kehidupan.
“Sebelum ini semua benda saya nak buat, tergesa-gesa hingga akhirnya saya jadi seorang yang pemarah akibat stres. Tetapi sejak ada suami, dia banyak ajari saya perkara yang saya tak sedar,”katanya.
Pada masa yang sama, Nad berkata, dia dan suaminya kini aktif menjalankan perniagaan tudung di bawah jenama Nadi Kesuma sejak setahun lalu yang direka sendiri oleh aktor terbabit.
“Sebenarnya, suami saya ini memang suka berniaga dan pada masa yang sama dia seorang lelaki yang bijak dalam pelbagai cabang termasuk dalam aspek pengurusan kewangan keluarga.
“Ungku juga boleh membina aplikasi permainan maya, mencipta laman sesawang berbentuk pendidikan yang dinamakan Pintar Congak. Program ini asalnya dicipta untuk memudahkan anak kami lebih cepat memahami subjek matematik.
“Setelah mendapat banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak, kini kami membuka program tersebut kepada umum,”katanya.
Untuk info, Nad pernah mendirikan rumah tangga dengan Faliq Amiruddin pada 18 Disember 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata Fahad Ibrahim, 8, dan Budi Kalsom, 4.
Bagaimanapun, Nad kemudiannya bercerai dengan Faliq pada September 2022.
Mendirikan rumah tangga dengan Ungku, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Ungku Indra Puteh Al Majid yang kini berusia 9 bulan.