KUALA LUMPUR : Penyanyi, Ameerais Azhar mengakui tidak kisah sekiranya dilabel sebagai artis ‘sendu’ atau tidak popular hanya kerana dia menyertai program realiti.
Menurut Ameer, dia malah tidak tersinggung dengan kata-kata negatif atau sindiran yang diberikan segelintir pihak kerana menganggap ia lumrah kehidupan anak seni.
“Komen seperti itu sebenarnya saya sudah biasa terima, setiap kali buat live di media sosial, ada sahaja yang sentiasa mengeluarkan ayat-ayat seperti itu.
“Jadi bagi saya kita hargai yang mana hargai kita itu yang paling penting. Tak marah kepada mereka yang berkata begitu, saya lagi sayang adalah,”katanya.
Ameer berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media TikTok Live X Astro Gimme The Mic Malaysia bertempat di The Bee, Publika baru-baru ini.
Dalam pada itu, mengulas soal kerjaya, Ameer berkata dia melihat begitu ramai bakat-bakat baharu yang hadir dalam industri seni sekali gus mewujudkan persaingan yang sihat.
“Ada juga yang mengatakan Amir ini sudah berada dalam industri hampir 14 tahun, bagi saya tiada had untuk dalam berkarya sebagai anak seni ini.
“Malah dalam pertandingan ini juga ramai yang cakap boleh rujuk saya disebabkan pengalaman dan sebagainya. Tetapi sebenarnya, saya yang banyak belajar daripada mereka.
“Kalau nak tahu, seramai 29 orang yang menyertai program Gimme The Mic ini semuanya sangat hebat. Selagi kudrat masih ada, saya akan teruskan buat benda yang saya minat. Sebab ini adalah minat saya.
“Menyanyi ini sejak dari zaman muda lagi saya dah minat. Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik dalam program itu kerana ini merupakan kali pertama saya bertanding,” ujarnya.
Untuk info, seramai 30 peserta dipilih untuk bertanding dalam ‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’.
Kesemua 30 peserta ini perlu mempamerkan kehebatan vokal masing-masing dan bersaing untuk meraih kedudukan teratas.
Juara serta enam peserta teratas yang dipilih di pentas akhir bakal mewakili negara bertanding di peringkat antarabangsa. ‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’ dibarisi panel juri yang pernah menggegarkan industri muzik tanah air serta antarabangsa.
Barisan juri pula terdiri daripada penyanyi dan komposer yang berbakat seperti Yuna, Bunga Citra Lestari, Ajai dan Hael Husaini.
Program ini turut memperkenalkan gandingan Sherry Alhadad dan Sean Lee sebagai hos, serta Ceddy Ang dan Daniel Cheang sebagai hos Live+.
‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’ akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur selama lapan (8) minggu bermula 21 Julai 2024, pada setiap hari Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), On Demand, Astro GO dan sooka.