Ruhainies diminta berdiam diri sahaja - Haji Zil

Ruhainies diminta berdiam diri sahaja – Haji Zil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah dan pemilik produksi Zeel Productions Sdn. Bhd., Fadzil Teh, menasihatkan pelakon dan teman rapatnya, Ruhainies, supaya berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kontroversinya dengan aktor Singapura, Aliff Aziz, selepas ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fadzil yang turut dikenali sebagai Haji Zil berkata, tindakan berdiam diri adalah yang paling tepat kerana enggan Ruhainies terjerat dengan kisah kontroversi lebih panjang.

“Memang rapat dengan Ruhainies, cuma tak adalah saya ini tahu segala hal dalaman dia. Malah, dia pun tak adalah cerita pasal apa yang berlaku dengan saya. Bagaimanapun, saya ada nasihatkannya supaya berhenti, saya tidak menyokong.

“Bagi saya, dia tak perlu memanjangkan perkara ini. Ya, saya tahu, susah netizen nak terima (isu kontroversi penyondol), tetapi dia minta maaf sajalah dan teruskan kehidupan.

“Selepas ini pun, lebih baik berdiam diri mengenai hal ini, jika ditanya pun tak perlu jawab. Bimbang tersalah cakap nanti jadi macam isu ‘saya tak pandai berlakon depan kamera’ baru-baru ini,”katanya ketika ditemui di Sri Pentas, semalam.

Selain itu, Haji Zil mengakui berasa kasihan dan simpati dengan musibah yang menimpa Ruhainies dan semua pihak terlibat namun berharap masing-masing dapat meletakkan fokus terhadap kerjaya.

“Macam Ruhainies, dia perlu buat sesuatu untuk kembali aktif semula dalam bidang lakonan. Secara peribadi, saya kasihankan dia sebab mengenali Ruhainies adalah seorang rakan yang baik.

“Tapi kita pun tak tahu akan jadi perkara begini. Dia pula cari makan dalam industri seni, saya pun tak nak lihat periuk nasinya ditutup gara-gara kontroversi dan hentaman orang ramai.

“Macam baru-baru ini pun dia ada tanya, adakah saya masih mahu ambil dia berlakon. Saya kata okey sahaja sekiranya pihak stesen televisyen luluskan nama. Begitu juga dengan Aliff Aziz. Mana-mana stesen lain luluskan, saya okey sahaja,”katanya.

Dalam pada itu, pengarah drama Cinta Bukan Milik Kita ini turut menasihatkan semua pihak terutama golongan netizen supaya berhenti menabur kecaman dan cemuhan di media sosial terhadap Ruhainies dan Aliff.

Ini kerana katanya, dia percaya, kedua-dua pelakon ini juga sudah mengambil iktibar dan teladan daripada apa yang berlaku dan sedang mencuba memperbaiki diri masing-masing.

Pada 3 Julai lalu, Ruhainies dan Aliff hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan bagi pertuduhan khalwat yang berlaku di kondominium ibu negara pada 9 Mac lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pelakon terbabit mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz.

Mahkamah seterusnya menetapkan tarikh 17 Oktober depan untuk prosiding seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN