KUALA LUMPUR : Pengarah, Shahrulezad Mohameddin, memberi bayangan kemungkinan drama popular arahannya, Khun:Sa bakal menembusi platform Over The Top (OTT) di Netflix untuk tontonan dan pasaran lebih meluas.
Menurut Shahrulezad, meskipun perkara itu masih belum rasmi, dia bagaimanapun berharap agar ia menjadi realiti namun bersedia sekiranya judul drama itu terpaksa ditukar kepada Bahasa Inggeris.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, kata Shahrulezad, penukaran judul kepada Bahasa Inggeris adalah biasa dan ia juga turut berlaku di platform Astro Originals (AO).
“Kebanyakan drama premium di AO menggunakan tajuk dalam Bahasa Inggeris. Saya pernah bertanya kenapa. Jawapan mereka adalah tujuan pemasaran. Sasaran penonton drama keluaran AO bukan ‘mass audience’ macam drama biasa.
“Astro sasar penonton urban dan pasaran luar. Kalau kita perhatikan semua drama Melayu yang dijual di Netflix atau di OTT lain macam Amazon Prime atau Hotstar, mereka akan tukar tajuk daripada bahasa ibunda negara asal pengeluar kepada bahasa Inggeris contohnya macam filem seram Indonesia ‘Pemandi Jenazah’ di tukar kepada Corpes Washer.
“Alasan mereka tajuk demikian lagi mudah menarik penonton global mereka. Penonton di India akan lebih tertarik dengan tajuk ‘Corpes Washer’ berbanding dengan ‘Pemandi Jenazah’. Malah drama Nur pun kalau diikutkan tajuk asalnya Nur dalam tulisan jawi.
“Tapi bila masuk Netflix mereka tukar ke tulisan rumi. Mungkin mereka tak dapat perkataan atau ayat yang sesuai untuk terjemahkan tajuk Nur dalam bahasa Inggeris. Ada juga sesetengah tajuk asal dikekalkan dalam bahasa asal terutama cerita dari India,”katanya.
Selain itu, kata Shahrulezad, dia juga sedar penggunaan bahasa di paltform OTT masih dikekalkan dalam bahasa tempatan atau majmuk meskipun judul ditukar kepada bahasa Inggeris.
“Sebab macam AO, mereka memang ada perancangan nak jual drama-drama mereka ke luar negara. Bagi mereka drama yang bertajuk antarabangsa begini lagi senang di jual sebab bakal pembeli terus faham tajuk yang dipersembahkan.
“Ia bertindak sebagai sinopis cerita. Tapi kalau tanya saya secara peribadi lebih suka dengan tajuk dalam bahasa Melayu. Ia tentang jati diri. Tapi susah sikitlah nak tarik perhatian pembeli daripada negara luar.
“Apa pun kita lihat nanti bagaimana dengan drama Khun:sa. Kalau ada rezeki akan mendarat ke Netflix jua. Kita tengok sama ada tajuk Khun:sa tu akan lepas atau mungkin akan ditukar kepada ‘Intersex’’
“Perkataan Intersex lebih senang faham banding dengan perkataan Khun:sa. Malah ramai saja penonton Malayu yang tak pernah dengar perkataan khunsa sebelum ini.
“Saya harapkan tajuk Khun:sa itu dikekalkan sebab bagi saya, tajuk itu cukup unik dan kuat untuk menjentik perhatian penonton antarabangsa yang bukan berbahasa Malaysia atau Melayu untuk menonton,”katanya.