KUALA LUMPUR : Penyanyi, Khai Bahar tidak kisah untuk melepaskan wataknya dalam drama Cinta Bukan Milik Kita terbitan Zeel Production sekiranya benar ada pelakon lain begitu mendambakan posisi tersebut.
Meskipun terkejut dengan perkara tersebut, kata Khai, dia rela berbuat demikian kerana enggan bermusuh dengan mana-mana pihak dalam industri seni.
“Saya tak tahu ada yang inginkan watak itu. Kalau saya tahu ada pelakon lain yang nak, saya takkan ambil.
“Ketika saya terima tawaran daripada pihak produksi, mereka tak beritahu pun ada orang lain juga inginkan watak itu.
“Saya berpegang pada rezeki, kalau dah tertulis rezeki saya maka ia milik saya. Tapi saya tak mahulah cari musuh kerana mahu lama dalam industri,” katanya ketika ditemui di Sri Pentas, kelmarin.
Berkongsi mengenai pembabitannya dalam drama arahan Emi Suffian itu, Khai berkata dia kembali berlakon setelah hampir lima tahun tidak beraksi di depan kamera.
Katanya dia memang sengaja menyibukkan diri kerana tidak mahu terbawa-bawa perasaan sedih di atas kehilangan ibu tercinta kira-kira tujuh bulan lalu.
“Selepas arwah mak meninggal dunia, saya seperti hilang semangat. Saya banyak abaikan fokus pada kerja sebaliknya hanya teruskan kerja yang memang dah teringat dengan kontrak.
“Bukan tak terima kenyataan tapi saya perlukan masa untuk pulihkan kembali semangat.
“Tapi pertemuan saya dengan seorang hamba Allah membuka mata saya, katanya mak tentu tak mahu lihat saya bersedih.
“Arwah mak selalu pesan supaya bantu adik-beradik, kalau saya terus bersedih nanti akan jejaskan kerjayq. Jadi sejak itu saya bangkit,” katanya.
Selain Khai Bahar, drama yang masih menjalani penggambaran di Perlis itu turut dibintangi Sharifah Rose dan Kartina Aziz.