Saya tak mahu dilabel penyanyi syok sendiri - Danial Kifli

Saya tak mahu dilabel penyanyi syok sendiri – Danial Kifli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Danial Kifli,21, mengakui pernah terfikir untuk menghentikan kerjaya nyanyian gara-gara single pertamanya yang berjudul Pergilah Cinta tidak mendapat sambutan pada awal penerbitan.

Bagaimanapun, semangat Danial kembali wujud selepas lagu berkenaan menjadi tular dan mendapat perhatian ramai pendengar beberapa bulan ia dilancarkan.

“Tipu kalau tak pernah rasa putus asa menyanyi. Dari awal rakamanan lagu Pergilah Cinta ini, kalau nak tahu, saya sudah rasa putus asa disebabkan beberapa faktor. Salah satunya saya asal Muar, Johor dan jarak ke KL agak jauh. Cabaran untuk merantau seorang diri.

“Selepas lagu itu dilancarkan, saya lihat macam tiada hasil. Rasa nak putus asa kerana banyak dah pengorbanan dari segi masa, tenaga dan duit yang dikeluarkan. Dalam hati terdetik, kalau tak ada sambutan tak mahulah dianggap sebagai penyanyi syok sendiri.

“Tetapi alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya. Lagu Pergilah Cinta akhirnya diterima dan menjadi penyebab saya bangkit semula serta mahu bertahan dalam industri. Saya sudah fikir mahu kerja sahaja jika single pertama itu tidak mendapat sambutan,”katanya.

Danial berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran lagu terbaharunya berjudul Musnah yang diadakan di Zecon Hotel, Cheras, baru-baru ini.

Jelas Danial lagi, dorongan yang diberikan oleh ibu dan ayah juga menjadi sumber kekuatan untuknya terus bertahan dalam industri.

“Apa yang saya buat ini hanya untuk diri sendiri, itulah juga yang buat saya terus bertahan walaupun ada yang kecam. Saya menyanyi dari hati sendiri, ikhlas. Andai ada yang tidak terima saya akan usaha lagi.

“Doa ibu, ayah, keluarga dan orang terdekat juga menjadi salah satu sumber kekuatan saya. Mereka sentiasa mendorong kerjaya saya,”ujarnya.

Sementara itu, Danial berkata, sebagai pendatang baharu banyak cabaran yang perlu dihadapi termasuk untuk bersaing secara sihat dengan penyanyi lain.

“Saya artis baharu, sudah pasti cabaran itu ada. Tetapi dengan rezeki lagu Pergilah Cinta, itu menjadi batu loncatan untuk saya pergi lebih jauh.

“Nak bersaing dalam industri ini saya sedar ramai yang lebih bagus, ada juga yang BBNU lebih baik. Saya sedar di mana kemampuan saya, banyak perkara yang perlu saya belajar. Namun tak mustahil untuk berjaya.

“Apabila jadi penyanyi ini ada yang suka ada yang tak suka. Pernah juga ada yang suruh saya berhenti menyanyi. Namun, saya ikhlas buat pekerjaan saya,”katanya.

Berkongsi mengenai single Musnah, Danial berkata, lagu hasil ciptaanya bersama tiga rakan lain iaitu Amir Hariz, Knight Cydeen dan Hawa Zulaikha adalah hadiah istimewa buat peminat meskipun pada awalnya wujud rasa bimbang.

Ini kerana kata Danial, dia tidak mahu peminat dan pendengar membanding-bandingkan kepuasan lagu pertamanya dengan yang baharu.

“Saya takut untuk melancarkan single ini kerana Pergilah Cinta berada pada satu tahap yang tinggi dan penerimaannya sangat luar biasa, jadi saya agak gementar untuk melihat maklum balas pendengar untuk single Musnah.

“Tapi Alhamdulillah sebaik muzik video Musnah dilancarkan di YouTube pada 21 Jun lalu, lagu ini terus trending dan kini berada di tangga ke-15. Malah jumlah tontonan untuk single ini juga mencatatkan peningkatan yang ketara.

“Kalau sebelum ini menerusi single Pergilah Cinta jumlah tontonan sekitar 15,000 sehari, tapi Musnah mencecah 25,000 tontonan sehari. Saya harap Musnah akan diterima baik sekali gus mencatat satu lagi sejarah baharu untuk portfolio kerjaya saya sebagai pendatang baharu dalam bidang ini,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN