KUALA LUMPUR : Pelakon, Zara Zya, mengakui, hubungannya dengan bapa kandung sudah lama dingin selain tidak menafikan dirinya sering menjadi bahan hinaan dan umpatan lelaki tersebut.
Memberi gambaran seakan tidak suka setiap kali ditanya mengenai bapanya, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, dia menganggap kewujudan bapa dalam hidupnya seperti ada dalam tiada.
“Tolong jangan buli dan suka cakap saya bukan-bukan. Saya ada ayah tapi ‘tak ada’. Ayah saya? Sudah berapa banyak akaun palsu dia yang saya sekat. Hina, mengata saya di media sosial. Itu secara atas talian, secara ‘offline’?
“Semestinya lebih rancak. Pernah wartawan cari saya dan cakap ada seorang lelaki hubunginya, ceriya tentang saya dia kenalkan diri sebagai ayah saya.
“Bukti? Banyak saya simpan. Jadi jangan tanya mana ayah saya, siapa ayah saya. Yang tahu sahaja tahu,”katanya dalam satu perkongsian di Thread, semalam.
Zara berkata demikian dipercayai ketika ditanya oleh segelintir pengikut di Thread mengenai bapanya setelah dia membuat luahan mengenai lelaki berkenaan di platform tersebut.
Selain itu, Zara juga meluahkan mengenai apa yang dirasakannya sejak mula diuji dengan pelbagai penyakit yang telah disahkan doktor iaitu cyst dan fibriod selain sakit pada bahagian tulang belakang atau sindrom lumbar facet sejak Mei lalu.
“Saya berjuang dengan penyakit misteri, saya juga berjuang dengan penyakit yang memerlukan rawatan hospital. Saya ada anxiety, saya ambivert, saya buat bisnes semua tak menjadi, saya tak ada kawan, saya juga nak berkahwin tetapi masih belum sampai waktu.
“Seperti apa pun yang saya ceritakan, tiada siapa yang akan faham apa yang saya tanggung dan lalui. Ketawa tanpa perasaan itu biasa,”katanya.
Pada masa yang sama, pelakon ini turut meluahkan perasaan mengenai hubungannya dengan teman-teman yang kini dianggap sudah tidak lagi rapat seperti dahulu.
“Saya ini jujur, tak plastik.Orang tak suka berkawan dengan saya sebab diri ini membosankan. Jangan tanya mana kawan-kawan saya.
“Saya tak ada kawan dan kalau dulu ada yang rapat, sekarang tidak lagi. Semua pun sudah ada haluan sendiri. Makin menyepi,”katanya.
Luahan itu dipercayai merujuk kepada beberapa orang rakan baiknya yang juga selebriti seperti Fara Fauzana, Shila Amzah dan Jihan Muse.
Dalam pada itu, hantaran Zara juga telah menuai pelbagai respons daripada para pengikutnya yang turut mendoakan agar pelakon tersebut terus diberikan kekuatan dalam mengharungi ujian hidupnya.