PUTRAJAYA : Penyanyi dan pelawak, Mark Adam, 45, mendedahkan, dia tidak berani untuk bercakap secara berlebihan mengenai isu anak angkat berikutan bimbang isterinya, Norazah Redzuan, kembali dibelenggu dengan kesedihan dan trauma.
Menurut Mark, selepas enam tahun berkahwin, dia dan isteri pernah mengambil seorang anak angkat perempuan berusia 8 bulan namun kerana sebab tertentu, anak kecil itu terpaksa dipulangkan semula ke pangkuan keluarganya.
“Kami pernah ambil dan jaga seorang anak angkat sebelum ini. Anak kecil itu sangat comel dan kami panggil nama manjanya, cucko. Dia ada nama lain, tetapi bila cuma dengan panggilan itu dia memberi respons kepada kami.
“Setahun juga kami sempat jaga dan tiba-tiba keluarganya mahukan anak itu semula. Kejadian itu sangat menyedihkan isteri kerana dia termasuk saya, sudah jatuh hati dan sangat sayangkan anak itu.
“Bahkan, sampai sekarang, kalau cakap pasal anak itu, dia akan sedih. Saya juga kalau boleh nak elak berkongsi sangat mengenai kenangan itu, isteri saya betul-betul trauma. Saya sendiri tengok bagaimana dia susah mahu melupakan ‘anak’ kami itu,”katanya.
Mark berkata demikian semasa ditemui pada Bazar Hujung Minggu di Hotel Park Inn by Radisson, di sini, Sabtu lalu.
Pada acara komuniti anjuran hotel yang disertai seramai 50 vendor itu, Mark dan isterinya terbabit menjual baju ‘preloved’ (pakaian terpakai) kepada pengunjung.
Selain itu, Mark berkata, berdasarkan pengalaman lalu itu, dia akan mengambil anak angkat secara sah mengikut prosedur undang-undang di negara ini.
Malah, dia dan isteri tidak berputus asa untuk terus melengkapi keluarga kecil mereka dengan kehadiran zuriat meskipun anak angkat.
“Berdasarkan pengalaman itu, kami sedar, kalau nak ambil anak angkat kena lalui prosedur yang betul supaya tidak berlaku kejadian yang serupa.
“Kalau saya ada anak, saya juga mahukan anak lelaki sebab dia boleh menjaga ibunya bila kami sudah tua kelak,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai pandangan mereka tentang gaya hidup ‘childfree’ (tanpa anak) yang menjadi trend pada ketika ini, Mark tidak menyokongnya.
Bagi penyanyi lagu Pencuri dan Si Katak ini, zuriat memainkan peranan penting untuk menyambung generasi masa depan selain melengkapi kehidupan sebuah keluarga.
“Saya tidak pernah dengar lagi konsep itu tapi ia bertentangan dalam ajaran agama Islam dan sunah Nabi.
“Orang macam saya dan isteri yang mahukan anak, Allah masih belum kurniakan. Ini ada pula yang tidak mahu anak. Tetapi saya akui, mungkin mereka ada sebab tersendiri dan ia terpulang kepada masing-masing,”katanya.
Untuk rekod, Mark mendirikan rumah tangga dengan Norazah Redzuan yang juga pengurusnya pada 2003 dan masih belum dikurniakan anak selepas hampir 21 tahun berkahwin.