KUALA LUMPUR : Pelakon, Mas Khan tidak menolak, tuduhan bahawa dia pernah memukul bekas kekasihnya, Diana Nasimuddin, termasuk membawa lari sejumlah duit milik penerbit terkemuka, Datuk A.Aida merupakan satu fitnah melampau.
Tegas Mas Khan atau nama sebenarnya, Mas Hidzhir Khan, dia tidak pernah ‘mengangkat tangan’ atau berkelakuan kasar terhadap mana-mana wanita seperti didakwa.
“Aku rasa akulah orang yang paling tak ambil kisah apabila netizen fitnah aku. Tetapi kali ini sudah cukup melampau apabila ada seorang mamat (lelaki) fitnah aku pernah pukul perempuan.
“Kau boleh tanya bekas kekasih aku, pernah ke aku angkat tangan? Bapa aku tak pernah ajar aku pukul perempuan. Memang melampau,”katanya.
Mas Khan meluahkan rasa kesalnya itu menerusi sebuah hantaran video pendek di Instagram Story miliknya, semalam.
Mengakui mempunyai semua bukti dakwaan, Mas Khan juga bertegas untuk membawa perkara tersebut ke muka pengadilan.
“Aku ada semua bukti komen yang pernah komen buruk. Semua tangkap layar dah ada. Ini mengenai maruah, kau tunggu. Kau sabar, aku kena ajar orang yang lakukan buli siber macam ini,”katanya.
Sementara itu, Mas Khan turut memuat naik skrin tangkap layar memaparkan komen fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, individu yang disebut oleh Mas Khan itu menggunapakai nama akaun, Amarzhafri.
Antara komen yang dilemparkan adalah seperti berikut.
“Tambahkan (tajuk artikel) dengan kaki pukul pasal pukul mak orang (Diana Nasimuddin) dengan kaki kelepet wang pasal rembat duit mak orang (A Aida). Nak acah ganster dengan aku pula, dahlah pukul perempuan,” tulisnya.