Percaya rezeki melimpah berkat jaga ibu ayah - Zubir Khan

Percaya rezeki melimpah berkat jaga ibu ayah – Zubir Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zubir Khan, percaya bahawa rezekinya berpeluang meneroka dan mengembangkan kerjaya dalam bidang seni muzik adalah kerana berkat dia menjaga kedua orang tuanya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zubir berkata, meskipun sudah bergelar artis arus perdana kini, dia memilih untuk masih menjaga ibu dan ayah dan menetap bersama mereka di Semenyih,Selangor. 

“Saya selalu meletakkan kepercayaan bahawa doa ibu dan ayah itu ada keberkatannya. Mungkin kerana itu jugalah saya mampu meraih kejayaan sekarang. Bergelar artis, ia tidak bermakna saya kena keluar rumah dan tinggalkan mereka demi mengejar cita-cita.

“Saya masih duduk bersama ibu ayah saya dan menjaga mereka kerana mereka pun sudah tua. Mungkin tidak semua, tetapi ada antara remaja atau orang muda lain yang memilih untuk meninggalkan ibu ayah mereka bila sudah tua.

“Ada juga yang pilih untuk hantar ibu ayah mereka ke rumah orang tua. Bagi saya, selagi mereka masih hidup, berusahalah untuk berbakti, jagalah mereka.  Kalau ibu ayah boleh jaga kita dari kecil sampai besar, tak akanlah bila kita sudah besar tergamak nak abaikan mereka,”katanya.

Menurut penyanyi lagu OMK ini, dia juga sentiasa berpegang kepada nasihat kedua orang tuanya terutama apabila semakin dikenali ramai kini.

“Pesan mereka selalu saya ingati. Antara pesan ayah terutamanya, dia selalu ingatkan saya supaya menjaga kelakuan dan tidak sombong. Ibu pun sama, cuma dia suka pesan saya supaya jangan lupa makan.

“Dia bimbang saya terlalu kuat kerja sampai lupa makan. Setiap kali keluar rumah nak pergi ke mana-mana, dia pasti akan cium saya dulu. Restu ibu sangat penting buat saya,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kereta jenis Honda Civic yang baharu dibelinya sekitar Jun lalu, kata Zubir, ia juga berkat dia menabung dengan wang hasil titik peluhnya sendiri.

“Sudah lama saya berangan-angan mahu membeli kereta idaman tersebut. Saya simpan duit sendiri dan akhirnya dapat juga beli.

“Saya boleh memandu, malah motorsikal pun saya boleh tunggang. Saya anggap ini sebagai hadiah untuk diri sendiri tetapi ini juga berkat doa ibu ayah saya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN