Perang Nasi Dagang ; memang saya mahu panaskan suasana - Issey - Utusan Malaysia

Perang Nasi Dagang ; memang saya mahu panaskan suasana – Issey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Issey Fazlisham, tidak menolak sengaja menghasilkan drama berjudul Perang Nasi Dagang sebagai satu naskhah berbentuk kritikan sosial dengan pengisian berbaur sinikal menerusinya.

Menurut Issey, naskhah itu kisah perbalahan makanan tradisi Pantai Timur iaitu nasi dagang yang terkenal di Kelantan dan Terengganu yang menyaksikan perdebatan dalam kalangan masyarakat mengenai juadah nasi dagang mana yang lebih enak dan popular.

Bagaimanapun, penyampai radio Gegar FM ini berkata, dia tidak berniat untuk mencetuskan perbalahan rakyat mana-mana negeri kerana objektif utama adalah menyajikan bahan tontonan yang mempunyai nilai kemasyarakatan dan meraikan budaya masing-masing.

“Idea asal untuk menghasilkan drama ini tercetus selepas seorang teman dari Terengganu datang beraya di rumah. Saya hidangkan dengan menu nasi dagang.

“Dia bergurau sambil persoal kenapa gulai nasi dagang Kelantan tidak sama dengan tempat asal usulnya. Saya sajikan dengan lauk seperti gulai ayam, udang dan ikan.

“Kenalan saya itu juga beritahu nasi dagang Terengganu hanya dimakan dengan gulai ikan. Saya ikut cara saya sebagai orang Kelantan. Bagi saya, nasi dagang Kelantan dan Terengganu, masing-masing ada keunikan dan rasa sedap tersendiri.

“Jadi, saya terfikir untuk terbit drama romantik komedi terutama membabitkan negeri Kelantan dan Terengganu. Jadi, isu nasi dagang ini boleh jadi subjek,” katanya.

Issey berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran drama bersiri Perang Nasi Dagang di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara, baru-baru ini.

Lebih mencetuskan kontroversi lagi, Issey berkata, dia turut difahamkan bahawa nasi dagang juga terkenal di Indonesia sekali gus memberi idea kepadanya untuk menjadikan drama bersiri lapan episod itu lebih ‘panas’.

Ditambah pula dengan video promosi yang memaparkan babak seorang pelakon mendakwa nasi dagang berasal dari Indonesia menggamatkan lagi drama itu.

“Babak itu memang realiti yang berlaku sekarang. Saya petik dialog itu untuk sengaja memanaskan suasana.

“Bagaimanapun, cara penyampaian adalah dalam situasi paling tenang. Lagipun nama nasi dagang yang diwakili setiap negeri atau negara itu berbeza-beza resepinya,” katanya.

Selain itu, menurut Issey, sebagai pelakon yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, dia lebih selesa menghasilkan jalan cerita yang dekat dengan jiwanya.

“Sebagai anak Kelantan, saya memang suka mengangkat topik yang dekat dengan saya.

“Saya cuba cari topik yang sesuai dan nasi dagang adalah topik menarik untuk menggambarkan kisah perbezaan pendapat antara dua negeri ini.

“Selain itu, tujuan saya menghasilkan drama ini adalah untuk menonjolkan kisah anak perantau yang berniaga di Kuala Lumpur.

“Kalau kita lihat, memang ramai orang Kelantan buka kedai tom yam atau gerai nasi berlauk di ibu kota. Saya dapat idea ini dari tahun lalu dan hampir setahun jugalah proses olah skrip,” katanya.

Drama Perang Nasi Dagang mengisahkan persaingan sengit antara dua kedai nasi dagang yang mengusung resepi tradisional tersendiri.

Kedai Nasi Dagang Sek Kito dari Kelantan dikendalikan Stopa, manakala Kedai Nasi Dagang Sek Kiter dari Terengganu, dimiliki Daniel.

Pertembungan antara dua pemilik kedai ini tidak hanya berkisar masakan, malah membabitkan persahabatan, keluarga dan semangat bersaing.

Selain Issey, drama yang kini ditayangkan di saluran Astro Warna itu turut menampilkan lakonan hebat Sabri Yunus, Kimal Mokhtar, Nora Danish, Adrina Kamaruddin, Waqqari, Mek Yun, Aswad Jalil dan Adam Amri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya