KUALA LUMPUR : Kumpulan terkenal dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) bakal kembali ke Asia pada November ini dengan tiga negara terlibat iaitu Filipina, Thailand dan tidak ketinggalan, Malaysia.
Dianjurkan oleh MMIC Entertainment Group dan JS Concert Productions, trio ini akan beraksi menghiburkan peminat menerusi konsert Michael Learns To Rock Take Us To Your Heart Tour in Malaysia di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 10 November depan.
Menerusi perancangan yang telah disediakan, Jascha Richter sebagai vokalis, Mikkel Lentz (pemain gitar) dan Kåre Wanscher (pemain dram) bakal menghiburkan peminat dengan lagu-lagu hits mereka seperti That’s Why (You Go Away), Paint My Love, 25 Minutes, Sleeping Child, Take Me To Your Heart dan banyak lagi.
MLTR yang berasal dari Aarhus, Denmark itu merupakan salah satu kumpulan muzik yang paling berjaya mengharumkan nama negara kelahiran mereka.
Ditubuhkan sejak 1988, MLTR adalah antara kumpulan yang paling lama berkarya dalam bidang muzik di seluruh pelusuk dunia tanpa mencetus sebarang skandal untuk berada di puncak.
Kumpulan yang memenangi pelbagai anugerah itu telah mengeluarkan sembilan album studio yang berjaya dijual berjuta unit.
Mereka telah menjayakan lebih 800 pertunjukan dan terus bertambah, masih melakukan perjalanan merentasi sempadan untuk mempersembahkan lagu cinta abadi mereka walaupun berusia 50-an dan 60-an.
Bersandarkan status emas dan platinum yang diperoleh di banyak negara, muzik MLTR masih dimainkan secara meluas melalui pelbagai platform penstriman selain pada masa yang sama membawa orang ramai bersatu, merentas masa dan demografi.
Tiket di jual pada harga RM968 (Zon MLTR), RM788 (VIP), RM668 (PS1), RM468 (PS2), RM268 (PS3) dan RM188 (PS4), tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4.
Pra-jualan tiket untuk ahli Genting Rewards bermula 31 Julai, 12 tengah hari, manakala jualan am bermula 8 Ogos, 12 tengah hari melalui mmic.bigtix.io, rwgenting.com dan my.bookmyshow.com.