Mamat Sepahtu ngaku ditahan reman oleh polis

Memang saya ditahan reman oleh polis – Mamat Sepahtu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelawak, Mamat Sepahtu, 39, mengaku dia adalah individu yang ditahan reman oleh pihak polis Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung kes penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di aplikasi Telegram.

Menurut Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Noor Murad, berkata, dia dan isterinya yang merupakan seorang anggota polis, Nordiana Ibrahim telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis selain menerima layanan baik sepanjang tempoh siasatan dilakukan.

“Ya, memang saya yang ditahan reman berhubung kes tular beberapa hari sebelum ini.

“Alhamdulilah keadaan saya macam biasa saja lagipun ia masih dalam peringkat siasatan, malah saya berikan kerjasama penuh kepada pihak polis, tiada timbul sebarang isu atau masalah lain,” katanya.

Diminta untuk mengulas mengenai dakwaan mengaitkan dirinya dalam penyebaran maklumat itu, Mamat bagaimanapun enggan memberi komen lanjut.

“Untuk perkara itu saya rasa lebih baik pihak peguam saya yang bercakap kerana ia berkaitan undang-undang kan,” katanya.

Sementara itu, peguam mewakili Mamat iaitu Muhammad Fadhli M. Sutris memberitahu kes berkenaan masih lagi dalam siasatan polis.

Justeru itu, Fadhli meminta orang ramai berhenti membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menganggu proses siasatan pihak polis terhadap anak guamnya.

“Kes ini akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya, dan perkara ini akan dinilai untuk tindakan selanjutnya.

“Proses siasatan ini masih dijalankan jadi saya nak menasihatkan kepada semua jangan memberikan komen atau buat spekulasi yang boleh menganggu sıasatan polis,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelawak ditahan bersama isterinya bagi membantu siasatan penyebaran maklumat di aplikasi telegram berkaitan gambar lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd Manan di IPD Shah Alam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN