KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Kilafairy mengakui, mendirikan rumah tangga bukanlah keutamaannya pada waktu sekarang meskipun tidak menolak, bapanya, Jahangir Khan, ada menyarankannya untuk berbuat demikian.
Ini kerana, kata Kilafairy, dia tidak fikir bahawa kesedihan dan trauma akibat kematian ibunya, penyanyi, Rohana Jalil, setahun yang lalu, dapat segera dipadamkan hanya dengan melangkah ke alam perkahwinan.
“Ya, memang betul, ada juga ayah saya suruh berkahwin. Dia pun sebenarnya, kasihan dengan saya dan tak mahu melihat anak perempuannya sering dibelenggu dengan kesedihan.
“Tetapi, saya tahu, dia tidak benar-benar memaksudkannya (untuk berkahwin). Ayah saya seorang yang sangat memahami, dia tidak memaksa. Cuma, iya, dia ada sarankan begitu sebelum ini.
“Saya yang tidak mahu sebab tidak semestinya trauma kematian mama ini dapat dipadamkan dengan berkahwin,”katanya.
Selain itu, Kilafairy juga mengakui dia tidak mempunyai teman istimewa dan lebih selesa dengan kehidupan solo pada waktu ini.
“Saya sangat gembira hidup ‘single’ macam ini. Kalau saya nak mendirikan rumah tangga pun, saya mahu melengkapkan separuh daripada agama saya. Itu sahaja tujuannya.
“Lagi satu nak suruh suami tolong buangkan lipas sebab saya takut dengan serangga itu,”selorohnya.
Sementara itu, mengulas tentang pemergian ibu tersayang pada setahun lalu, Kilafairy mendedahkan dia sudah semakin reda dengan keadaan meski pun ada hari-hari di mana dia menangis dan berduka.
“Alhamdulillah saya okey, cuma terpulang kepada diri saya. Kadang-kadang hari ini lain, itu yang saya perasan. Berduka adalah satu proses yang indah.
“Awak ingat diri dah okey tapi sampai satu hari, tiba-tiba akan ,menangis sampai terduduk, rupanya belum habis buang perasaan itu dalam diri.
“Jadi saya tanya kawan-kawan dengan ada antara keluarga yang sudah meninggal 15 tahun, mereka kata ia memang seperti itu. Jadi, berbalik kepada diri saya macam mana saya menanganinya,”katanya.
Untuk rekod, Allahyarham Dara Abdul Jalil atau Rohana Jalil telah meninggal dunia pada 20 Jun tahun lalu ketika berusia 68 tahun akibat kebocoran pada usus perut.