KUALA LUMPUR : Nama pelakon cantik kelahiran Indonesia, Laudya Cynthia Bella tiba-tiba menjadi tular di media sosial gara-gara dia didakwa telah mendirikan rumah tangga dan bergelar isteri ketiga kepada seorang ustaz terkenal di negara itu.
Dakwaan tersebut mula tercetus selepas seorang pengguna media sosial memuat naik satu hantaran mengucapkan tahniah kepada Bella dan Ustaz Muhammad Nuzul Dzikri atas pernikahannya yang berlangsung baru-baru ini.
Hantaran tersebut dipercayai dikongsi semula di laman sosial popular, Lambe Turah sebelum ianya menjadi perhatian dan bualan ramai warganet.
Lebih mengejutkan ramai apabila mereka mengetahui status Ustaz Muhammad Nuzul Dzikri yang sudah beristeri dua dan Bella didakwa rela menjadi isteri ketiga pendakwah itu.
Susulan daripada itu, rakan baik Bella, Kadhita Ayu tampil menafikan dakwaan tersebut dan mengesahkan bahawa ia merupakan satu fitnah.
“Bella beritahu dia sedih dengan berita tak sahih yang tular di media sosial. Bella juga izinkan saya untuk memberitahu perkara ini kepada umum,”katanya.
Walau bagaimanapun, rata-rata wargamaya berpendapat bahawa alangkah baiknya jika Bella sendiri tampil memberi penjelasan dan bukannya dengan menggunakan ‘orang tengah’.
Bintang Buya Hamka tersebut pernah berkahwin dengan duda Erra Fazira, Engku Emran pada 2017 dan bercerai pada 2020 tanpa dikurniakan cahaya mata.
Manakala Ustaz Nuzul pula sudah berpoligami dengan isteri keduanya merupakan seorang pereka busana bernama Norma Hauri.