Lapan tahun bercinta, Sean Lee akui tiada niat sorok hubungan - Utusan Malaysia

Lapan tahun bercinta, Sean Lee akui tiada niat sorok hubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Sean Lee, 30, mengakui dia menjalin hubungan cinta dengan Bay Doucet, 26, sejak lapan tahun lalu sebelum mengahwini wanita pilihan hatinya itu pada 7 Julai lalu.

Menurut Sean atau nama sebenarnya Sean Lee Jia Ern, dia mengambil masa selama itu bagi memberi tempoh pada isterinya untuk bekerja sendiri memandangkan mereka mula mengenali antara satu lama lain pada usia yang agak muda.

Bagaimanapun, Sean berkata dia tidak pernah berniat untuk merahsiakan hubungan mereka sebaliknya menghormati pendirian isteri dan juga keluarga mereka.

“Bukan niat saya mahu merahsiakan tapi ia lebih kepada soal privasi dan perkara ini juga bukan rahsia sebab kami tetap keluar ‘dating’ macam biasa. Cuma saya mahu berterima kasih kepada mereka yang nampak kami bersama tapi memutuskan untuk memberikan kami privasi.

“Isteri saya juga seorang yang menjaga privasi dan dunianya berbeza, jadi saya faham dan saya hormat keputusan dia dan keluarga kami untuk simpan kisah privasi kami.

“Kami sudah bersama sudah lama, kira-kira lapan tahun tapi seperti hubungan yang lain, ia tidak sempurna. Banyak jatuh dan bangun tapi akhirnya kami dapat kahwin,”katanya ketika ditemui pada program Gimme The Mic, di sini, semalam.

Selain itu, Sean juga mengakui dia berpegang kepada prinsip ‘Date To Marry’ dan enggan bermain-main ketika menjalin hubungan dengan Bay.

“Dari awal lagi kami berdua setuju dengan prinsip ‘date to marry’, kami tidak anggap kami berkenalan bukan untuk serius, itulah punca ramai yang putus dan lepas kahwin, cerai. Jadi lapan tahun memberikan kami masa untuk saya pastikan inilah orang yang betul untuk saya,” katanya.

Mengulas lanjut, Sean berkata dia mengakui rasa lebih lega apabila akhirnya dapat berkongsi mengenai hubungan istimewanya bersama Bay.

“Jujurnya, selepas saya berkahwin saya rasa lega sebab saya bukanlah orang yang suka berahsia, kalau ia perkara yang menyeronokkan, saya akan kongsi.

“Jadi saya rasa seperti saya sudah lepaskan satu beban di bahu saya. Sekarang nak keluar dengan isteri saya tak perlu nak segan dan sorok-sorok,” katanya.

Berkongsi perkenalannya dengan Bay, Sean berkata mereka banyak berhubung di atas talian pada awal perkenalan memandangkan Bay melanjutkan pengajian di Australia.

“Sudah tentu saya yang mulakan dulu, saya sebenarnya menghantar Direct Message (DM) di Instagram dan kami mula berborak buat sementara waktu. Ketika itu dia belajar di Australia. Saya tak banyak berjumpa dia secara fizikal dan banyak bermesej.

“Satu perkara yang membuatkan saya rasa dia lain, apabila dia ajak saya berhubung menerusi panggilan. Saya gugup nak cakap apa, sebab takut menerusi panggilan, tiada masa untuk saya fikir jawapan. Kalau mesej, ada masa nak fikir nak jawab apa. Itu yang membuatkan saya lebih jatuh hati sebab dia seorang yang berterus terang.

“Itu satu perkara yang baik pada dia. Dia seorang yang menyempurnakan saya, saya nampak banyak perkara yang cantik mengenai dia dan saya mahukan dia sepanjang hidup saya. Itu sebab saya pilih dia, dia sangat istimewa buat saya,” katanya.

Terdahulu, Sean mengejutkan ramai apabila berkongsi gambar majlis perkahwinannya dengan Bay, yang juga model berdarah kacukan Cina-Amerika Syarikat, di laman Instagram. Selain model, Bay juga seorang ‘content creator’ (pencipta kandungan) dan pemilik butik pakaian ‘preloved’ di ibu kota.

Majlis perkahwinan itu diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga dan kenalan terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya