KUALA LUMPUR : Pelawak, Shuk Sahar, mengakui, gara-gara terhimpit dengan kontroversi rumah tangga dan dikecam teruk oleh warganet, dia hinggakan terpaksa berikhtiar bertemu dengan pakar psikiatri bagi mendapatkan rawatan kesihatan mental.
Tindakan itu diambil Shuk berikutan menganggap ada antara kecaman yang diterimanya terlalu melampau bahkan hingga menerima ugutan bunuh.
“Ketika perkara itu berlaku, saya boleh terima kecaman kerana saya memang bersalah. Tetapi, apa yang ingin digambarkan hebatnya penulis seseorang itu sehingga sampai ke tahap ugut bunuh.
“Selain banyak komen negatif yang saya terima, ada juga yang mengatakan jika berjumpa secara berhadapan, mereka akan pukul saya,” katanya dalam satu siaran podcast yang membincangkan isu buli siber yang disiarkan semalam.
Mengulas kejadian yang berlaku pada 2021 itu, Shuk turut mengatakan kejadian menjadi mangsa buli siber mengakibatkan dia turut mengalami serangan anxiety.
“Kejadian pertama berlaku sewaktu saya bercuti di Korea Selatan. Waktu itu cuaca sangat sejuk, tetapi saya berpeluh, jantung berdebar dan tangan menjadi kebas.
“Selepas beberapa minit, saya kembali pulih. Kemudian kejadian sama berlaku lagi sewaktu saya sedang memandu kereta.
“Selepas menyedari beberapa perubahan, saya terus mendapatkan rawatan psikiatri kerana ingin tahu punca perkara itu berlaku.
“Doktor mengatakan trauma juga boleh mengakibatkan anxiety. Jadi saya tidak menafikan kemungkinan kecaman sebelum ini menjadi penyebab serangan anxiety,” katanya.
Bapa dua anak itu bagaimanapun mengatakan kritikan dan komen negatif tidak akan menjejaskan kerjaya seninya kerana dia perlu menjadi pendapatan buat keluarga.
“Saya perlu bekerja. Jika saya tidak bekerja bagaimana ingin mendapat pendapatan,” ujarnya.
Sebelum ini Shuk pernah mendirikan rumah tangga dengan Rossalennah Natassyiah Asshaferah pada 2015, namun bercerai pada 22 Mac 2023.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifafu Aimi, 5.
Shuk kemudian mendirikan rumah tangga dengan Fara Salleh pada November tahun lalu.