Juicy Luicy hangatkan Konsert Malam Galau di Zepp, 8 November hadapan. - Utusan Malaysia

Juicy Luicy hangatkan Konsert Malam Galau di Zepp, 8 November hadapan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Juicy Luicy bukanlah nama yang asing bagi peminat di Malaysia. Dikenali sebagai sebuah kumpulan pop jazz berasal dari Bandung, Indonesia, mereka sudah ‘menakluk’ peminat dengan aliran progressif yang menepati selera pendengar sejak ditubuhkan pada 2006.

Atas sambutan hangat daripada peminat, kumpulan ini bakal membuat persembahan sempena Malam Galau Kuala Lumpur bersama beberapa kumpulan terbaik tempatan pada 8 November ini di Zepp, Kuala Lumpur.

Mengakui peluang yang diberikan cukup bermakna, kumpulan yang dianggotai oleh Julian Kaisar (vokal), Denis Ligia (gitar), Zamzam Y.M (saxophone & akustik), Dwi Nugroho (drum), dan Bina Bagja (bass) bakal menghiburkan peminat dengan koleksi lagu-lagu hits mereka seperti Lantas, Sayangnya, Sialan dan Asing.

“Kami bersyukur dengan peluang yang diberi untuk hiburkan peminat di Malaysia. Ini merupakan kesempatan yang tidak mungkin kami lepaskan memandangkan konsert ini akan menjadi pemangkin kehadiran Juicy Luicy pada waktu akan datang,”

“Pastinya banyak perancangan akan dibuat untuk memberikan yang terbaik kepada peminat. Apa yang penting bukan sahaja mahu peminat berpuas hati  tetapi juga mahu karya kami diterima baik oleh pendengar baharu,” kata Julian Kaisar yang merupakan vokalis kumpulan ini.

Jika dilihat kekuatan utama kumpulan ini terletak kepada komposisi muzik yang segar dan lebih dinamik, sekaligus mampu menarik minat pendengar walaupun baru pertama kali mendengarkan naskhah mereka.

Apa yang membanggakan setiap tahun Juicy Luicy berjaya menempatkan nama   ke dalam beberapa anugerah utama muzik Indonesia termasuklah Anugerah Musik Indonesia (AMI), Bandung Music Awards dan Billboard Indonesia Music Awards melalui penghasilan pelbagai karya mereka.

Turut membanggakan apabila mereka berjaya memenangi kategori Duo/Grup of The Year sempena AMI26 (2023) mengenepikan beberapa nama besar seperti Yovie & Nuno, Ungu, For Revenge dan Armada selain merangkul Duo/Grup Jazz Terpopular Bandung Music Award pada tahun yang sama.

Konsert Malam Galau Kuala Lumpur yang dibawakan khas oleh HashTag Media bersama Black Sky Enterprise juga turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang banyak membantu merancakkan agenda seni tempatan.

Menariknya, sejak konsert ini diumumkan secara rasmi sebulan yang lalu, tiket-tiket sudah terjual melebihi 60 peratus sekaligus mendapat maklum balas positif daripada peminat di sini.

Menurut penerbit konsert, Elmi Elmo pula menganggap kehadiran Juicy Luicy begitu istimewa memandangkan mereka sudah mempunyai peminat tersendiri sejak awal penubuhan. Karya- karya yang dihasilkan mereka juga bertepatan dengan selera pendengar yang sentiasa mahukan kelainan dari semasa ke semasa

“Rangkaian lagu-lagu mereka sesuai dengan tema Konsert Malam Galau yang sudah diadakan sebelum ini. Atas dasar itu juga membuatkan kami yakin dengan kemampuan mereka untuk menghiburkan peminat di sini,”

“Untuk band local pula, kami masih memilih band yang bersesuaian dan bertepatan dengan konsep. Apa yang boleh saya katakan, mungkin ada empat band yang akan bersama Juicy Luicy pada malam itu nanti,” katanya.

Selaku penerbit bersama, Willy Dozan yang mewakili Black Sky pula menganggap percaturan membawa band ini sebagai satu langkah berani memandangkan mereka belum pernah muncul secara rasmi di sini.

“Pihak kami bersyukur dengan sambutan hangat yang diberikan ketika ini. Sebaik sahaja kami mengumumkan kehadiran Juicy Luicy, jualan tiket sangat memberangsangkan membuktikan mereka sudah punyai peminat tersendiri.

“Sudah pasti itu bukan sahaja memberikan kelegaan tetapi juga menggembiran band itu yang mahu memberikan persembahan terbaik pada malam tersebut. Kami berharap peminat tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan mereka nanti,” katanya.

Sebagai info, lagu Lantas yang dikeluarkan pada 2020 banyak menaikkan nama Juicy Luicy sehinga dilayari sebanyak 284 juta kali di Spotify. Malah beberapa lagu lain turut mendapat jumlah strim yang tinggi membuktikan karya mereka diterima ramai.

Konsert Malam Galau Kuala Lumpur bersama Juicy Luicy bakal berlangsung pada 8 November hadapan di Zepp Kuala Lumpur. Tiket-tiket dijual dengan harga RM128 (Teriak), RM 158 (Terpaling), RM 228 (Teresak), RM 288 (Tersendu) dan VIP Royal Box berharga RM 3088 (Tergalau).

Layari www.malamgalau.com untuk pembelian secara online.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya