Jika pembuli tak berhati perut, biar mereka tanggung - Baby Shima - Utusan Malaysia

Jika pembuli tak berhati perut, biar mereka tanggung – Baby Shima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Baby Shima, 31, berpendapat, jalan terbaik ketika seseorang berdepan dengan mereka yang bergelar pembuli siber adalah dengan tidak mempedulikan ‘serangan-serangan’ negatif yang dilemparkan.

Menurut Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, tindakan itu dirasakan paling tepat bagi memastikan kesihatan mental diri terpelihara dan tidak terjejas.

“Rasanya, selain saya, ramai artis lain juga menjadi mangsa buli siber. Pembuli ini mahu melihat kita melenting dengan kata-kata mereka. Cara saya kawal situasi ini adalah buat tak tahu dan tak hiraukan saja pembuli itu.

“Lebih baik mengabaikan komen atau mesej yang boleh mengganggu emosi. Kalau kita respons nanti, isu itu akan berpanjangan dan mereka suka. Mungkin apabila melihat kita terkesan, itu satu kejayaan buat mereka.

“Saya juga selalu ingatkan diri agar sentiasa menjaga kesihatan mental sendiri. Jangan biarkan buli siber menjejaskan emosi kita. Ia tak berbaloi pun,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Selain itu, kata Shima, untuk mengekang gejala buli ini, ia terletak kepada usaha dan kemahuan untuk berubah individu itu sendiri.

“Terpulang kepada niat dan hati masing-masing. Kalau mereka tidak berhati perut atau tidak sensitif, biarlah mereka tanggung. Allah Maha Mengetahui segalanya.

“Saya tak mengkum mereka pun, rasanya tak ada faedah dan buang masa saja sebab mereka memang mahukan perhatian. Lagi kita marah, lagi mereka suka.

“Lebih baik fokus aktiviti yang kita gemari dan tumpukan perhatian pada aspek positif dalam hidup kita,”katanya.

Pada masa yang sama, Shima tidak menolak, berdasarkan pengalaman, dia berharap semua pengguna media sosial lebih berhemah ketika melontarkan sebarang komen bagi mengelak terjebak ke kancah buli.

“Maafkan atau tidak, apa yang lebih penting adalah ubah perangai tu dulu. Bayangkan kalau ahli keluarga mereka dituduh macam-macam, mesti mereka marah bukan? Malah beberapa tahun dulu, saya pernah membuat laporan di Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) apabila ada yang komen berlebihan tentang saya.

“Sebenarnya bukanlah saya terkesan sangat dengan apa yang mereka tuduh itu. Tetapi laporan saya buat itu lebih kepada mahu jadikan ia sebagai pengajaran.

“Apabila buat laporan, sedikit sebanyak menyedarkan mereka dan netizen lain bahawa negara kita ini ada undang-undang dan tidak boleh bertindak menuduh orang lain sesuka hati,”katanya.

Dalam pada itu, Shima juga percaya pengguna media sosial tidak cuma kerap digunakan oleh golongan remaja sekolah tetapi daripada pelbagai latar belakang.

“Pembuli siber ini boleh datang dari bermacam-macam latar belakang. Mungkin juga remaja sekolah, mungkin juga pekerja pejabat, mungkin juga suri rumah dan sebagainya.

“Kalau nak kata, pembuli siber itu dari remaja sekolah semata-mata agak tidak adil kerana sesiapa sahaja boleh jadi pembuli.

“Bagi saya, mereka yang suka buli orang lain itu kerana hidup mereka sebenarnya tak bahagia. Jadi dia mahu orang lain terganggu emosi agar tak bahagia sepertinya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya