HULU LANGAT: Penyanyi, Wani Kayrie, 24, mengakui tidak kisah andai teman rapatnya, Afieq Syazwan menjalin hubungan cinta dengan mana-mana wanita lain sekiranya itu adalah takdir jodohnya.
Ini kerana, kata Wani, selama ini dia dan penyanyi tersebut juga hanya berkawan rapat sekali gus menepis dakwaan bahawa mereka kembali bercinta.
“Kalau Afieq ditakdirkan bertemu dan bercinta dengan wanita lain pun saya tak kisah. Memang dia adalah kawan baik saya dan kami pun ada berkongsi kisah susah senang bersama, tetapi cuma itu sahaja.
“Terus-terang, saya tumpang bahagia kalau betul dia ada teman wanita,”katanya ketika ditemui pada majlis pernikahan penyanyi, Sarah Suhairi dan Aswad Anuar di sini, baru-baru ini.
Selain itu, penyanyi lagu Fajar dan Kamu Kamu ini juga menegaskan, dia tidak pernah meletakkan status bercinta dengan Afieq selama ini dan enggan lebih ramai orang salah faham.
“Kami rapat sejak menyertai program Big Stage 2018. Tetapi saya pun tak pernah letak status apa-apa dengannya. Cuma saya akui, keluarga masing-masing tahu kami berkawan rapat dan silaturahim ini lebih baik begini.
“Orang tahu kami akrab dan jika adalah orang lain yang nak masuk meminang dan itu adalah jodoh saya, maka saya terima sahaja,”katanya.
Pada masa yang sama, Wani tida menolak ciri-ciri calon suami idamannya ada pada Afieq antaranya sopan-santun, peramah dan memahami.
“Saya pernah katakan sebelum ini bahawa ciri-ciri lelaki idaman itu ada pada Afieq. Tetapi sekadar itu sahaja kerana saya tak mahu meletakkan komitmen lain. Saya masih kuda dan kita sama-sama menghormati kerjaya masing-masing.
“Pun begitu, jika Allah SWT takdirkan kami bersama selepas ini pun, saya aminkan sahaja. Benda baik kita aminkan. Tetapi untuk membuat keputusan bila atau dengan siapa saya nak kahwin ini bukan halnya.
“Sebab semua itu terletak di tangan Allah. Kita doa sahaja yang baik-baik,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada dia pernah didesak segera berkahwin oleh keluarga, Wani bagaimanapun menafikan perkara itu.
Kata Wani, keluarganya tidak pernah berbuat demikian kerana tahu fokusnya kepada kerjaya selain mengakui mahu mencurah bakti kepada mereka.
“Mereka tak pernah desak kahwin atau apa. Saya ini anak sulung dan ada adik-beradik, maka saya nak jaga dan tak mahu meninggalkan mereka dulu.
“Lagipun tak terburu-buru soal kahwin, saya fikir sabar itu lebih indah,”katanya.