Jangan ‘matikan’ asatizah yang baik dalam negara kita - PU Riz - Utusan Malaysia

Jangan ‘matikan’ asatizah yang baik dalam negara kita – PU Riz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selebriti dan penceramah bebas, Pencetus Ummah ( PU) Riz, menasihatkan golongan asatizah supaya tidak mudah patah semangat untuk berdakwah meskipun wujud kritikan negatif daripada pengguna media sosial.

Malah, Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail juga tidak bersetuju seandainya warganet terlalu bersikap mudah menghukum hanya kerana satu kesilapan yang telah dilakukan segelintir asatizah.

“Pendapat saya, misal kata kalau di tempat awam, memang kita disuruh untuk membaca hadis atau benda yang sahih tapi kalau benda itu untuk pendidikan dan pengajaran, saya pun ada baca dalam kelas saya di satu universiti. Ia untuk pengajian kita bersama.

“Tapi apa-apa pun ia tidak menghilangkan kebaikannya, atau sesiapa sahaja. Kalau dia tersilap sikit, janganlah begitu. Kalau seorang buat salah, semua orang tegur pun tak molek juga. Maksudnya kita tegur dan bagi nasihat, sudahlah.

“Saya rasa kita semua orang ada silap kita, dan silap dalam penyampaian ini adalah baik untuk dibaiki, dan orang pun janganlah hentam. Mereka bukan orang jahat, ustaz-ustaz kita di Malaysia semua orang baik.

“Yang mengajar Al-Quran pun bagus jadi bagi saya jangan matikan asatizah-asatizah yang baik di Malaysia ini. Kita sayang ustaz-ustaz kita,” katanya ketika ditemui di majlis pembukaan kedai Nunha yang pertama di pusat beli belah Mytown, di sini, hari ini.

Haris berkata demikiam ketika dimita mengulas mengenai kontroversi yang membabitkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid yang digugurkan dari mengacarakan Salam Baitullah 2024 sebelum ini.

Haris bagaimanapun enggan mengulas terlalu terperinci mengenai perkara itu dan hanya mahu memberikan komen secara umum.

Selain itu, Haris mengakui dia juga pernah ditegur sebelum ini dan menerima teguran itu dengan hati yang terbuka.

“Saya pun pernah kena juga tapi rezeki saya apabila benda itu ditegur oleh asatizah yang lain jadi saya menerima dan saya insaf. Taknaklah buat lagi sebab ia membabitkan kredibiliti dan berkait dengan banyak perkara.

“Saya pun pemegang tauliah Wilayah Persekutuan, dan beberapa negeri yang lain jadi saya rasa kena jaga sebab ini karier kita juga dan setakat mana kita boleh buat dakwah itulah, sebab kalau kita tiada tauliah, susah nak masuk negeri-negeri lain,” katanya.

Dalam masa sama, Haris juga mengakui masyarakat sekarang lebih peka mengenai ilmu agama dan turut memuji penulisan yang dibuat oleh bekas Mufti Wilayah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, justeru orang ramai juga boleh rujuk pada penulisannya.

“Ya betul, orang ramai sekarang lebih ‘strict’ dalam menerima hukum sebab orang bercakap. Kadang-kadang orang yang tak mengaji agama, nak bercakap juga. Itu perkara yang tidak berapa baiklah.

“Sekarang pun setiap negeri ada laman fatwa masing-masing yang bagus untuk kita baca. Jadi kita ikut negeri kita. Mufti yang paling saya nak puji adalah bekas mufti kita, Dr Zul, kalau nak rujuk tanya dia. Penulisan dia baik dan ramai ustaz ambil manfaat dari penulisan dia.

“Kadang-kadang kita nak jawab takut salah, kita tengok dia, penuh dengan dalil dan pandangan yang baik,” katanya.

Sementara itu, berkongsi pula mengenai pembukaan kedai Nunha, Haris berkata selain dibuka di pusat beli belah Mytown, pihaknya juga berhasrat untuk membuka kedai seterusnya di Kelantan.

“Kedai Nunha yang kedua akan dibuka di lapangan terbang di Kelantan, kami sedang usahakan, jadi doa-doakanlah sebab orang Kelantan sukakan produk kami. Lagipun kedai Naelofar tiada lagi di Kelantan, jadi kami cuba bertapak di sana.

“Alhamdulillah, saya juga bersyukur produk kami disambut baik terutamanya seperti baju dan The Kaabah, produk audio mengandungi zikir dan doa.

“Kabaah ini istimewanya saya dan Neelofa sendiri yang rekod suara dan masukkan ke dalamnya. Ia pun sudah disemak oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kami sedang tunggu kelulusan.

“Neelofa baca maksud dan terjemahan Al-Quran dan 33 zikir pagi pula dibacakan oleh saya. Ia mudah dibawa ke mana-mana seperti ke dapur, kereta dan sebagainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya