KUALA LUMPUR : Pelakon Sharifah Rose, 25, berpendapat, mana-mana individu yang ingin meneroka peluang dan membina jenama dalam dunia penghasilan bahan kandungan dan mahu bergelar pempengaruh perlu mempunyai jiwa yang cekal dan kebal.
Turut bermula sebagai seorang pempengaruh, Rose berkata, faktor itu penting supaya fokus terhadap kerjaya yang ingin dibina tidak tersasar dari landasan.
“Kalau mahu jadi pempengaruh, muka memang kena tebal dan hati perlu kebal kalau. Saya akui mula-mula memang susah hendak abaikan kata-kata orang.
“Kadang-kadang kawan cakap kita gemuk sikit pun kita sudah terasa. Inikan pula entah siapa-siapa yang mengutuk tentulah boleh buat kita lagi terasa,” katanya.
Rose berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi drama rantaian terbaru lakonannya berjudul Cinta Bukan Milik Kita bersama Khai Bahar di Sri Pentas di sini, kelmarin.
Berdasarkan pengalaman sendiri, pelakon ini juga tidak menafikan pernah melalui fasa kemurungan kerana terlalu mengambil peduli akan kata-kata kecaman orang yang disifatkan sebagai antara satu gejala buli siber.
“Ketika saya mula-mula muncul dalam drama Kekasih Hati Mr Bodyguard, banyak kritikan diterima.
“Itu adalah drama pertama saya pegang watak utama. ‘Teaser’ baru keluar, orang sudah kutuk. Penggambaran masih berjalan, jadi, boleh bayangkan betapa koyak emosi saya hingga terjejas penghayatan.
“Kemudian, saya belajar untuk tidak lagi mempedulikan kata-kata orang sebab tahu, fokus utama adalah pada kerjaya seni dan bidang perniagaan yang saya jalankan,”katanya.