KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Mark Adam, 44, berkata, fokusnya kini tidak cuma terhadap bidang seni tetapi juga berusaha meneroka peluang dalam bidang perniagaan.
Menurut Mark, dia yakin, sebagai seorang selebriti, perasaan malu atau segan untuk berniaga tidak patut wujud dalam diri meskipun sekadar mempunyai gerai kecil.
“Saya akui sekarang ini sedang belajar dan cuba terokai pula peluang berniaga. Buka reruai atau gerai kecil pun tak mengapa asalkan dapat raih pengalaman dan berjumpa dengan orang.
“Saya rasa golongan selebriti perlu ada cabang dalam perniagaan. Tak perlu rasa rendah diri atau malu sebab kita pun sudah ada pengaruh dan pengikut kita sebelum ini.
“Jadi baik kita cari kepandaian dalam bidang perniagaan sebagai satu sumber pendapatan sebab jadi artis pun ada fasa turun naik. Tak boleh bergantung cuma pada bidang seni sahaja,”katanya.
Jelas Mark, dunia seni juga penuh dengan persaingan dan bidang perniagaan boleh menjadi antara jalan keluar terbaik bagi menambah pendapatan.
“Boleh ambil contoh seperti Noor Neelofa atau Shuib misalnya. Mereka bagi saya sangat berjaya dalam bidang perniagaan dan itu membuatkan saya sangat mengagumi mereka
“Kita ini tak akan selamanya nak berharap cuma pada kerja seni sahaja. Sebab persaingan dalamnya juga ramai dan hari-hari akan ada muka-muka baharu.
“Turun naik macam roda ini, saya sendiri pernah lalui. Sejak tahun 2013, ada sahaja fasa di mana saya tak begitu menjadi dalam menghasilkan lagu,”katanya.
Bagaimanapun, kata Mark, dia tidak pernah berputus asa menghasilkan pelbagai karya muzik kerana menganggap itu adalah minatnya.
Malah, Mark juga mengakui dia perlu terus giat menghasilkan lagu kerana enggan lebih ramai tidak tahu bahawa dia merupakan seorang komposer dan penyanyi.
“Agak lama juga saya kerap terlibat dengan dunia lakonan sampai orang terlupa bahawa saya ini penyanyi dan komposer. Peminat yang dulu memang ingati saya sebagai penyanyi, tetapi kalangan generasi muda tak tahu.
“Mereka yang muda-muda ini cuma tahu saya pelawak dan pelakon. Tak mengapa, saya syukur juga. Cuma kalau boleh mahu juga generasi muda kenali lagu-lagu saya,”katanya.
Berikutan itu, kata Mark, dia kini sedang menghasilkan beberapa karya terbaharu yang akan menggembalikan nostalgia peminat terhadap lagu-lagu hits terdahulunya seperti Pencuri dan Katak.
“Saya ada juga buat lagu berentak balada, tetapi bila tanya, ramai yang mahu saya hasilkan lagu macam dulu-dulu. Saya rasa betul juga, mengapa tidak kembali membawakan lahu-lagu seperti itu?
“Saya akan berbincang dengan pihak syarikat rakaman dan mulakan strategi. Insya-Allah, saya akan terbitkan lagu baharu dalam masa terdekat ini,”katanya.