KUALA LUMPUR : Komposer dan penyanyi rap terkenal, Yonnyboii, 26, menegaskan, golongan ibu bapa perlu kerap memantau aktiviti anak-anak mereka di platform media sosial sebagai satu usaha mengekang gejala buli siber.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, dia tidak menolak, segelintir daripada pengguna media sosial merupakan remaja sekolah dan tidak dipantau secara berkala.
“Buli siber ini memang dari dulu, sejak kewujudan media sosial seperti Facebook, Twitter, benda ini tak akan berhenti. Kalau tengok zaman sekarang pula, ada Tiktok dan Instagram, makin ramai yang tidak kisah berkelakuan negatif dengan mengecam, mengkritik hingga tahap membuli orang lain di media sosial.
“Saya pernah berdepan dengan pengalaman seperti ini, cuma, sekarang lebih selesa untuk tidak begitu peduli. Tak ada masa sebab sibuk layan anak pun iya.
“Sebelum ini, pernah juga ada seorang rakan berdepan dengan situasi sama, dia buat keputusan untuk berjumpa individu terbabit. Namun, tergamam kerana individu itu merupakan seorang budak kecil dan yang minta maaf adalah ibunya,”katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 16.4 juta orang atau 57.5 peratus penduduk Malaysia yang menggunakan media sosial untuk mengisi masa lapang, terdedah melakukan perbuatan buli siber sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Berdasarkan laporan Digital Global 2024, sebanyak 28.68 juta orang atau 83.1 peratus daripada penduduk Malaysia mempunyai akaun media sosial.
Selain itu, kata penyanyi lagu Salahku ini, dia percaya sekiranya golongan ibu bapa memainkan peranan untuk memantau aktiviti anak masing-masing.
“Itu sebab sebagai ibu bapa, kena didik anak-anak, ambil tahu apa yang mereka buat, apa yang mereka tengok dan apa yang mereka tulis di media sosial. Sebab, sekarang saya percaya, tak semua orang ambil tahu.
“Sudahlah sekarang semua orang mudah mengakses, semua orang berpotensi jadi jahat dan pembuli. Benda ini tak boleh berhenti kecuali kita sendiri ambil tindakan dan bertanggungjawab,”katanya.