KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti media sosial, Aeril Zafrel, mengakui lebih selesa untuk tidak membenarkan anak-anaknya menyambung pengajian ke sekolah berasrama penuh berikutan mahu melihat anak-anak membesar di hadapan mata.
Menurut Aeril, itu adalah tindakan terbaik baginya dan isteri, Wawa Zainal, memandangkan mereka juga boleh memantau keselamatan anak-anak apabila menetap bersama di rumah.
“Saya tahu sekarang ini banyak isu buli sedang diperkatakan ramai. Tetapi itu bukan faktor utama kenapa saya tak mahu menghantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh.
“Sebenarnya masuk asrama ni ada bagusnya untuk anak-anak lebih fokus dalam pelajaran. Tapi pilihan ini saya buat kerana mahu lebihkan masa dengan anak-anak. Saya nak tengok mereka membesar depan mata sendiri.
“Budaya buli bukan hanya di asrama sahaja, sekolah biasa pun ada berlaku,” katanya.
Aeril berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa pelancaran kolaborasi Coolblog X Wawa di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Selain itu, pelakon filem Buas itu berkata, dia sanggup bangun awal pagi untuk menghantar anaknya ke sekolah meskipun mampu mengupah pemandu untuk melakukan tugas tersebut.
Kata Aeril, momen seperti itu tidak akan dapat dirasainya jika anak-anaknya sudah besar atau masuk ke sekolah berasrama.
“Saya sanggup bangun 6:30 pagi sebab nak ada momen hantar anak pergi sekolah. Walaupun saya boleh sahaja upah sesiapa minta hantarkan tapi pada saya itu sahajalah momen saya dengan mereka, dah besar nanti tiada dah perkara macam itu,”katanya.
Sementara itu, Aeril memberitahu peranan ibu bapa di rumah sangat penting bagi megurangkan gejala buli di sekolah.
Ini termasuk mengingatkan mereka tentang budaya tersebut adalah salah selain mendidik mereka dengan nilai-nilai murni agar peribadi mereka dapat dibentuk.
“Peranan utama pada ibu bapalah supaya mengingati anak-anak selalu supaya tidak terlibat dalam gejala buli, karma itu ada,” katanya.
Untuk rekod, Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada 2013.
Pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 10, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 8, Ayya Soffya, 4, dan Muhammad Fahri, 3 tahun.
Dalam perkembangan lain, kolaborasi Wawa bersama Coolblog mahu menyampaikan mesej mencintai diri sendiri dan kecantikan dari dalam.
Kempen tersebut melancarkan enam perisa berasaskan epal iaitu Very Apple Fizz, Green Apple Fizz, Very Apple Yoghurt, Green Apple Yoghurt, Very Apple Smoothie dan Green Apple Smoothie.