KUALA LUMPUR : Penyanyi, Rayme Zainal, 45, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang membuat persembahan di konsert berskala besar dengan iringan musik orkestra di Konsert Destiny of Music yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, baru-baru ini.
Menurut Rayme, peluang itu adalah antara apa yang dinanti-nantikannya sebagai seorang artis apa lagi dapat berada sebaris dengan penyanyi hebat tanah air seperti Aina Abdul, Ernie Zakri selain Kugiran Masdo, Haziq Rosebi dan Daniel Chuer.
“Ini adalah merupakan penampilan saya buat julung kali di sebuah konsert besar dan saya hanya ingin memberikan persembahan terbaik melalui lagu-lagu ciptaan saya sendiri.
“Penonton yang hadir pada malam Konsert Destiny of Music juga sangat ‘sporting’ dan membuatkan saya lebih bersemangat lagi untuk meneruskan persembahan.
“Alhamdulillah saya gembira dan berpuas hati kerana dapat menyampaikan persembahan sebaik mungkin dan akan terus berusaha memperbaiki mutu vokal dan persembahan saya di masa akan datang,” katanya yang pernah menyertai pertandingan realiti TV All Together Now pada tahun 2022.
Selain itu, Rayme juga mengakui perasaannya bercampur baur antara gembira, gugup dan teruja terutamanya dapat menyanyikan empat buah lagu secara live dengan iringan pemuzik orkestra di sebuah konsert besar.
Ini kerana dia bimbang sekiranya dikecam tidak dapat menyanyi dengan baik dan dibandingkan Aina dan Ernie yang terkenal dengan lontaran vokal berkualiti.
“Ramai penyanyi baru yang timbul, bak kata pepatah bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ada yang berkualiti namun ada juga hanya mengharapkan populariti media sosial.
“Jadi, saya ambil peluang ini untuk melakukan persiapan rapi dengan memasuki kelas latihan vokal, hadir sesi latihan bersama pemuzik orkestra dan yang paling penting ialah mendapat rehat yang secukupnya,”katanya.
Pada masa yang sama, Rayme turut merakamkan penghargaan kepada penganjur konsert, B De Paris Beauty Project iaitu Burhan Ahmad yang mempercayai bakatnya dengan memilih untuk beraksi di pentas besar yang merupakan pengalaman pertama buat dirinya.
Selain itu, Rayme berkata, dia juga terharu apabila mendapat tajaan sebanyak tiga persalinan oleh pereka fesyen, Azlan di bawah jenama Ghazlan pada konsert yang dihadiri lebih 3,000 penonton itu.
“Inspirasi untuk menghasilkan busana ini kerana saya memang inginkan suit moden dengan elemen K-Pop dan fresh-look. Dari segi warna dan corak, saya saya serahkan pada Azlan sebab saya percayakan sentuhan kreatifnya yang baru sahaja memenangi ‘Best Traditional Costume’ di Mrs. Tourism Queen International 2024 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 24 Jun lalu.
“Ini kali kedua saya menggunakan busana Ghazlan di mana sebelum ini untuk promosi lagu raya saya tahun ini.
“Busana persembahan saya pada malam itu disiapkan masa yang singkat tapi saya kagum dengan sentuhan Azlan dan berharap kami dapat bekerjasama lagi pada masa datang,” katanya.