KUALA LUMPUR : Dijangkiti wabak Covid-19 sejak lima hari lalu, vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, mengakui, keadaan itu sedikit sebanyak membuatkannya berasa bimbang berikutan Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur bakal berlangsung kurang dua minggu lagi.
Bagaimanapun, bercakap kepada Utusan Malaysia, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 40, berkata, dia bersyukur kerana keadaan kesihatannya semakin pulih kini.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin baik sekarang. Saya mula dijangkiti Covid-19 pada 28 Jun lalu dan ini merupakan kali ketiga saya dijangkiti wabak ini. Masa mula dijangkiti, dalam fikiran saya terbayang tentang persembahan konsert itu nanti.
“Terus-terang memang timbul kerisauan itu. Persembahan konsert pun tak lama dah. Tetapi, syukur sekarang dah semakin pulih. Bagaimanapun saya tetap kena jaga kesihatan bagi memastikan semuanya okey menjelang konsert New Boyz nanti,”katanya ketika dihubungi, hari ini.
Selain itu, ditanya mengenai persiapan konsert, kata Tomok, setakat ini, dia dan anggota New Boyz telah melakukan persiapan rapi bagi memastikan segala perancangan konsert berjalan dengan lancar.
“Setakat ini sudah 80 peratus persiapan yang telah dilakukan. Kami semua tak sabar nak jumpa peminat di konsert itu nanti dan masing-masing bersemangat mahu menyajikan persembahan terbaik.
“Saya juga menjanjikan suasana yang berbeza untuk persembahan kali ini berbanding konsert kami di PJ Pac sebelum ini. Kami tak ubah banyak sangat susunan muzik kerana mahu mengekalkan nostalgia lagu-lagu kami.
“Mengikut perancangan, untuk konsert kali ini kami akan sajikan 28 buah lagu hits New Boyz dan diharapkan peminat juga dapat hadir memberi sokongan beramai-ramai,”katanya.
Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 13 Julai ini.
Selain Tomok, anggota lain yang bakal beraksi sama ialah Jay, Lan, Zimi, Afiez, Zack dan Ristoe.
New Boyz pernah mencipta fenomena dan menjadi kegilaan peminat remaja sejak ditubuhkan pada 1999 dan bergiat aktif sehingga 2007.