Dihimpit kontroversi, rating program Salam Baitullah meningkat - Utusan Malaysia

Dihimpit kontroversi, rating program Salam Baitullah meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Meskipun dihimpit pelbagai kontroversi, program Salam Baitullah musim ke-16 siaran RTM mencatatkan peningkatan rating sebanyak satu kali ganda sekali gus menyaksikan sambutan menggalakkan daripada penonton.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan yang turut menyebut bahawa peningkatan ketara itu juga berlaku di platform media sosial dan Over-The-Top (OTT).

“Sebenarnya rating televisyen sama macam tahun lepas cuma kali ini meningkat satu kali ganda iaitu antara 1juta hingga 1.5 juta.

“Peningkatan paling ketara adalah dalam platform media sosial terutama iaitu 3.4 juta tontonan. Apatah lagi bila kami buat kuiz, sambutan sangat menggalakkan, majoriti yang masuk umur 40 tahun ke bawah.

“Salam Baitullah bukan sahaja ditonton penonton kawasan kampung malah mampu menarik perhatian orang bandar, kami berusaha untuk tingkatkan rating ini daripada masa ke semasa,” katanya.

Ditanya sama ada rating tersebut melonjak disebabkan isu berkaitan Ustaz Don Daniyal, Shahri bagaimanapun tidak menolak.

Bagaimanapun, Shahri menegaskan pengisian program juga merupakan antara salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan rating itu.

“Betul, perkara tersebut sedikit sebanyak mempengaruhi rating tapi apa yang mahu saya tampilkan disini, kemelut yang berlaku dalam program ini memberi kutipan dan catatan tinggi daripada segi jualan membabitkan produk oleh penaja.

“Daripada maklumbalas penaja, jualan mereka naik mendadak antara 50 hingga 70 peratus sepanjang tempoh program ini disiarkan. Namun bukan sebab isu itu sepenuhnya sebaliknya disebabkan oleh pengisian yang kami buat.

“Tahun ini antara penganjuran Salam Baitullah yang terbaik dan mencatat rating tinggi malah pertama kali juga dianjurkan diluar studio. iaitu Masjid Putra, Putrajaya dan itu juga penyumbang kepada rating,” katanya.

Dalam pada itu, Shahri berkata, pihaknya enggan isu lama berbangkit kembali pada tahun hadapan selain akan membuat pemilihan hos dan pengisian program dengan lebih teliti.

“Segalanya akan diperincikan termasuk pemilihan hos supaya akan lebih diterima oleh khalayak. Untuk menyasarkan 40 tahun ke atas, kita kena letak hos yang sesuai dengan usia sedemikian.

“Sebenarnya, sebelum memulakan program ini tahun ini, kami dah buat tapisan dua bulan awal kepada pihak berautoriti sama ada mereka boleh bersiaran atau tidak.

“Selepas perkara ini menjadi isu, kami mmengambil langkah agar tidak berlanjutan, mungkin akan datang kami boleh panggil semula (Ustaz Don) atau melihat ustaz lain yang boleh dipanggil. Kami yakin ramai lagi ustaz yang boleh dipanggil bukan sahaja sebagai hos tetapi sebagai panel,”katanya.

Sebelum ini, nama program Salam Baitullah menjadi bualan ramai apabila hosnya, Ustaz Don direhatkan selama seminggu daripada program tersebut selepas mengupas kisah kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang dikatakan tanpa sokongan dalil sah.

Bagaimanapun selepas sehari dibenarkan bersiaran, timbul pula kontroversi terbaharu sehingga menyebabkan tugasnya ditamatkan serta merta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya