KUALA LUMPUR : Pelakon dan pempengaruh, Mek Yun, 27, menggesa pihak berkuasa supaya mengenakan tindakan yang setimpal terhadap golongan pembuli siber susulan isu kematian seorang pempengaruh Tik Tok, Esha yang menjadi mangsa buli baru-baru ini.
Menurut Mek Yun atau Wee Yun Nee, 27, peristiwa hitam yang menimpa mendiang Esha tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan nyawa manusia.
“Saya rasa perkara ini sangat serius sampai boleh meragut nyawa. Jadi ia tidak boleh diambil ringan untuk tindakan yang dibuat.
“Kalau sampai meragut nyawa, saya harap sangat pihak berkuasa akan lebih memperketatkan undang-undang supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi.
“Saya harap sangat kalau wujud lagi situasi seperti ini, akan ada undang-undang yang lebih tegas,” katanya.
Mek Yun berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Perang Nasi Dagang yang diadakan di Wisma DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mek Yun memberitahu dia juga pernah berdepan dengan komen negatif netizen yang menyentuh mengenai fizikal dirinya.
Bagaimanapun, pelakon ini memilih untuk bangkit dan menjadikan kata-kata itu sebagai pembakar semangat.
“Saya pernah rasa seperti ingin menyerah disebabkan komen negatif di media sosial. Walaupun satu atau dua komen tetapi sebenarnya ia memberi impak yang besar kepada kita.
“Saya juga pernah menerima komen negatif seperti body shaming kerana sebelum ini badan saya agar besar sedikit. Saya sangat berisi pada waktu itu, berat badan saya 74 kilogram.
“Ada yang komen cakap saya gemuk, macam drumstick (paha ayam). Banyaklah komen-komen yang buruk tetapi saya ambil sebagai pembakar semangat untuk menurunkan berat badan,”katanya.
Pada masa yang sama, Mek Yun berpesan kepada masyarakat untuk tidak sewenang-wenangnya memberikan komen yang boleh menggores hati orang lain.
Kata Mek Yun, setiap individu mempunyai tahap kesihatan mental yang berbeza dan disebabkan itulah kita perlu menjaga tutur kata apabila menggunakan media sosial.
“Kepada netizen, kata-kata andalah yang akan memberi impak sangat besar kepada pempengaruh media sosial ini.
“Fikir dahulu sebelum anda meninggalkan sebarang komen kerana mungkin bagi anda apa yang dikatakan itu tidak mempunyai apa-apa maksud tetapi ia mungkin memberi kesan buruk kepada orang lain.
“Tolonglah berbuat baik dan sebarkan nilai positiviti sahaja supaya kita semua akan hidup dalam kebahagiaan,” katanya.
Pada Selasa, P Shalini, 35, didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok untuk membangkitkan kemarahan.
Shalini mengaku bersalah dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menyebabkan Esha ditemukan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa buli siber.