KUALA LUMPUR : Setelah beberapa kali cuba menepis pertanyaan mengenai kehamilan isterinya, Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26,akhirnya penyanyi rap, MK, ‘mengumumkan’ secara tidak rasmi mengenai berita gembira itu menerusi satu video muzik berjudul Oke yang dimuat naik di Instagram, kelmarin.
Menerusi video tersebut, MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin, 28, telah menyelitkan adegan dia mengusap dan mencium perut isterinya sekali gus memberi bayangan bahawa mereka akan dikurniakan cahaya mata tidak lama lagi.
Menerusi video itu juga, dapat dilihat perut isterinya sedang sarat hamil anak pertama mereka namun tidak dapat dipastikan usia kandungannya.
“Alhamdulillah ya Allah. Alhamdulillah untuk semua nikmat nikmat mu ya Allah.
“Rezeki yang melimpah-ruah, sentiasa bersyukur,” tulis MK ringkas di ruangan kapsyen.
Video tersebut merupakan perkongsian sempena ulang tahun kelahirannya termasuk memaparkan perjalanan kerjaya seni bersama insan tersayang.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata peminat mendoakan kesejahteraan MK dan isteri.
“Alhamdulillah, tidak lama lagi MK Junior bakal dilahirkan.
“Semoga MK dan Hajar berbahagia hingga ke jannah.
“Masya-Allah, semoga semuanya berada di bawah lindungan Allah,” tulis peminat-peminat di ruangan komen.
Bagaimanapun sehingga kini, belum ada kenyataan rasmi keluar daripada mulut pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu.
Sebelum ini, MK berjanji akan berkongsi berita gembira berkenaan isterinya yang sedang hamil apabila tiba masa yang sesuai.
Pada masa sama, MK akui dia bukanlah seorang yang gemar menjaja kisah peribadi kepada umum lebih-lebih lagi membabitkan kehamilan isterinya.
Untuk info, pasangan ini bernikah pada 15 Jun tahun lalu selepas empat tahun bercinta.