KUALA LUMPUR : Peminat-peminat filem Ultraman berpeluang untuk menyaksikan sendiri kehadiran watak animasi dan anime popular dari Jepun itu di negara ini pada 13 hingga 23 Jun ini.
Bertempat di Orange Concourse Sunway Pyramid, acara selama dua minggu itu dibawakan khas oleh Tsuburaya Productions Co.Ltd dan One Universal Production Sdn Bhd.
Menerusi kenyataan, acara tersebut diadakan sempena meraikan kehangatan filem Ultraman : Rising yang akan ditayangkan di Netflix bermula pada 14 Jun ini.
Menariknya, pada acara tersebut, peminat watak figura aksi ini berpeluang menyaksikan sebuah statu berukuran setinggi 2.6 meter dengan pelbagai watak Ultraman lengkap dengan kostum bersaiz gigatron yang turut akan dipamerkan di lokasi sama.
Tidak cuma itu, peminat juga berpeluang menyaksikan penampilan Ultraman Arc yang difahamkan merupakan pertama kali seumpamanya dilakukan di Malaysia.
Difahamkan juga, hero Ultraman terbaharu itu juga bakal menemui peminat menerusi tayangan sulungnya di saluran Astro Ceria pada Julai ini.
Selain itu, antara tarikan lain di lokasi tersebut termasuk naskhah Ultraman Blazar the Movie: Tokyo Kaiju Showdown yang dijadualkan ditayangkan pada 20 Jun ini di seluruh pawagam TGV.
Istimewanya, peminat juga berpeluang bersemuka dan beramah mesra bersama hero filem tersebut yang dilakonkan oleh Tomoya Warabino secara eksklusif pada satu segmen khas.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik juga diadakan bagi memeriahkan acara termasuk Permainan Kad Ultraman yang juga akan dilancarkan tidak lama lagi.
Dalam pada itu, tahun ini juga menyaksikan ulang tahun ke-15 Ultraman Zero dan bagi meraikan acara ini, watak kesayangan ramai itu juga akan ‘hadir’ bagi bertemu peminat.