KUALA LUMPUR: Seorang individu dilaporkan telah tampil membuat permohonan maaf kepada Naim Daniel,27, setelah empat hari direman pihak polis gara-gara mengancam keselamatan ibu bapa pelakon dan penyanyi berkenaan beberapa minggu lalu.
Perkara itu diakui Naim yang memaklumkan dia bersama ibu dan bapanya turut hadir ke balai polis untuk bersemuka dengan individu terbabit selain memberi keterangan mengenai kes tersebut.
“Pada waktu itu, saya melihat dia dalam keadaan bergari. Saya terus tanya pada dia, ‘kau tak menyesal ke masuk penjara semata-mata kecam aku?’.
“Memang saya beri ceramah percuma selama tiga jam supaya dia sedar dengan apa yang telah dia buat.
“Tetapi dia hanya jawab pada saya bahawa tindakan yang dilakukannya itu adalah disebabkan ikutan orang semata-mata. Terus saya rasa macam tergamam sekejap,” jelasnya.
Namun begitu, Naim berkata, individu terbabit terus memohon maaf dan mengakui kesilapannya selain berjanji tidak akan melakukannya lagi.
Dalam pada itu, Naim tidak menolak bahawa masyarakat pada hari ini begitu mudah mengikut trend semata-mata selain bersikap mudah menghukum.
“Bagi saya, tindakan yang saya buat ini memang dah betul. Kalau tengok netizen depan-depan tidaklah berani mana pun. Ini semua demi pengajaran,”katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai reaksinya sewaktu dikecam warganet di media sosial susulan kes boikot produk Israel, Naim berkata, dia sedikit pun tidak berasa terkejut kerana dapat meneka keadaan itu.
“Saya dah padam 2,000 komen berbaur negatif dalam video saya. Malah, saya pun dah mula berdamai dengan masyarakat dan mungkin fahaman mereka agak berbeza dengan apa yang saya nak sampaikan pada waktu itu.
“Tetapi saya tidak menyalahkan mereka secara penuh. Mungkin cara penyampaian sendiri pun salah sehingga mereka berani melakukan tindakan sebegitu rupa,” ujarnya selepas persembahan Naim Daniel di Muzium Telekom, Sabtu lalu.
Susulan daripada kes ini, Naim berkata, tiada lagi mana-mana individu berani memberi komen yang mampu menggugat keselamatan dirinya bersama keluarga.
Terdahulu, Naim membuat laporan polis terhadap pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih.