PETALING JAYA: Penyanyi, Aina Abdul, tidak menyangka dapat bertemu empat mata dengan idolanya yang juga artis terkenal Korea Selatan, Ailee.
Menerusi sebuah hantaran di Instagram sebentar tadi, juara Anugerah Juara Lagu ke-37 itu dilihat sempat menyapa dan berbual dengan penyanyi itu dipercayai sebelum konsert yang berlangsung pada Sabtu.
“Masih tidak percaya dapat merasai pengalaman ini. Dalam hati saya, tidak pernah terbayang yang momen ini akan terjadi.
“Bertahun-tahun saya rasakan lagu Ailee sebagai peneman dan inspirasi. Banyak video nyanyiannya saya simpan dan ulang tonton banyak kali,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Bagaimanapun, Aina sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Ailee yang memberi peluang kepadanya bertemu artis pujaan ramai itu.
“Kepada pengurusan Ailee, terima kasih untuk peluang keemaasan ini,” katanya.
Bukan itu sahaja, hantaran yang dimuat naik Aina mencuri perhatian ramai yang rata-ratanya tumpang gembira dengan kerjayaan penyanyi itu.
“Satu demi satu impian Aina tercapai. Sebelum ini dapat sepentas dengan idolanya, Datuk Siti Nurhaliza. Kali ini Ailee pula. Mewah rezeki apalah agaknya amalan Aina,” tulis satu komen.
“Saya yang tengok video ini pun boleh rasa keterujaan itu,” kata seorang peminat.
“Kami cemburu. Terima kasih staff yang tolak Aina supaya dia dapat bergambar bersama Ailee,” kata seorang pengguna.
Sebelum ini, penyanyi Sumpah itu diundang sendiri oleh pengurusan Ailee, LOL Asia, untuk membuat persembahan pembukaan konsert artis itu di Malaysia.
Pemilihan Aina dilakukan pihak pengurusan selepas melihat video persembahan Aina menyanyikan lagu Ailee, ‘I Will Go To You Like The First Snow’ ketika konsert ‘A Night With Aina Abdul 2.0’ pada 2022.
Konsert jelajah Ailee I am: Here telah berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 22 Jun lalu.