FIZA Frizzy boleh dikategorikan sebagai hos yang agak bersih daripada kontroversi. Belum lagi pernah timbul cerita-cerita aneh membabitkan pengacara ini.
Namun, satu perkara mengenai ibu tiga cahaya mata ini yang wajar dijadikan teladan adalah sikap kuat bekerjanya dalam membantu suami menyara keluarga.
Perkara itu saya sendiri saksikan apabila berulang kali munculnya Fiza atau nama sebenarnya, Nur Hafizah Saad sebagai hos atau pengacara program televisyen mahu pun majlis-majlis tertentu.
Fiza acap kali menjadi pilihan penganjur yang menyenangi telatahnya mengacara selain profesionalisme ketika melaksanakan tugas.
Bahkan empat hari selepas melahirkan anak bongsunya, Fiza mengambil risiko dan terus bekerja, melunaskan permintaan untuk mengacarakan majlis. Sejauh itukah keterdesakannya? Sehingga sebegitu tindakannya.
“Tiada istilah terdesak untuk bekerja. Kadang penganjur pada saat akhir menawarkan saya menjadi hos untuk majlis atau program mereka, saya tak sia-siakan.
“Daripada saya duduk di rumah tak buat apa-apa. Lebih baik saya keluar bekerja.
“Kita ini bekerja sebab ada tanggungan, cari duit untuk bantu suami menyara keluarga selain belanja untuk pendidikan anak-anak,” katanya yang ditemui sempena perasmian Miniso di Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.
Kata Fiza, meskipun sudah bergelar isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata, dia belum sedia untuk melepaskan kerjaya pengacaraan meskipun mampu memilih untuk menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.
Katanya, keadaan itu disebabkan minat yang mendalam terhadap bidang tersebut selain keinginan untuk bekerja seperti wanita berkerjaya yang lain.
“Mungkin ada yang berpandangan saya teruskan kerjaya ini sebab mahu jana pendapatan semata-mata walhal itu sama sekali tidak benar.
“Tak ramai yang tahu, tak semua pengacara mampu hidup mewah. Walau pun ada ketika dibayar dengan jumlah memadai, saya tetap perlu keluarkan belanja yang banyak kos-kos sampingan yang ada kalanya melebih dengan jumlah pendapatan yang saya terima.
“Keinginan saya bekerja sebagai pengacara adalah kerana minat. Itu yang paling utama, bukan kerana wang semata-mata,” kongsinya.
USAH MUDAH MENGHUKUM
Terpanggil saya bertanyakan kepada Fiza mengenai kempen boikot artis tempatan gara-gara kerjasama dengan jenama atau produk pro Israel.
Dalam isu ini, Fiza, yang turut terkesan berharap masyarakat tidak mudah jatuh hukum dan memberi peluang kepada artis tempatan membetulkan keadaan.
“Ramai selebriti yang memperjuangkan isu Palestin. Tetapi disebabkan terikat dengan kontrak, mereka terpaksa akur melunaskan apa yang telah mereka persetujui lebih awal dengan jenama atau produk berkenaan.
“Saya tidak terkecuali, turut ‘tersepit’ dalam keadaan ini. Saya cuma harap masyarakat tidak terus menerus menghukum.
“Selepas ini, kalau ada tawaran untuk bekerjasama dengan mana-mana produk, memang saya akan selektif. Tapi bagi yang sudah ditetapkan, tiada pilihan lain selain saya lunaskan dengan apa yang telah dijanjikan.
“Apa pun dalam keadaan ini saya harap kami diberikan peluang kedua. Doakan yang baik-baik,” katanya.