Tanpa Mark, energi Westlife kekal membara - Utusan Malaysia

Tanpa Mark, energi Westlife kekal membara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASANYA, masih kekal hangat dalam ingatan bagaimana kehadiran Nicky Byrne, Kian Egan, Mark Feehily
dan Shane Filan berjaya menggamatkan Axiata Arena, Bukit Jalil, sekitar setahun lalu.

Pun begitu, siapa sangka, Malaysia, sebegitu dekat di hati mereka sehinggakan penganjuran konsert jelajah Westlife The Hits Tour menyaksikan negara ini sekali lagi menjadi destinasi pilihan empat jejaka ini.

Bagaimanapun, ada kelainan sedikit dalam persembahan mereka kali ini yang menyaksikan hampir 5,000 peminat berkumpul di Arena of Stars, Genting Highlands pada Ahad lalu.

Ini kerana, Shane, Kian dan Nicky hanya beraksi bertiga tanpa kehadiran rakan seperjuangan mereka, Mark, yang juga menjadi tunjang utama kumpulan kelahiran Ireland ini.

Bagi peminat yang mungkin tidak tahu, Mark tidak dapat beraksi sempena konsert jelajah kali ini berikutan masalah kesihatan yang dialaminya.

Sebelum ini, penyanyi berusia 45 tahun itu pernah mengeluarkan satu kenyataan bahawa dia terpaksa berehat sebentar daripada sebarang aktiviti seni bersama Westlife berikutan perlu menjalani beberapa pembedahan.

Susulan daripada itu, Mark mengalami sepsis berpunca daripada tindak balas imun yang tercetus akibat jangkitan.

Mark sekali lagi diuji pada akhir tahun 2021 selepas didiagnos mempunyai penyakit radang paru-paru atau pneumonia. Malah, Mark juga kemudiannya menderita penyakit hernia yang perlu dirawat secara pembedahan.

Perkara itu juga dimaklumkan oleh Nicky ketika berada di pentas. Kata Nicky, Mark sememangnya mahu turun padang dan bersama-sama beraksi serta menghiburkan peminat-peminat.

Namun, masalah kesihatan menjadi faktor utama mengapa Mark perlu mendapatkan rehat yang memcukupi bagi memastikan dirinya segera pulih.

“Sebagaimana yang ramai tahu, Mark telah menjalani beberapa pembedahan major dan tentunya memeerlukan masa yang lama untuk pulih sebelum dia kembali beraksi bersama Westlife.

“Dia ada nyatakan kekesalannya dan memohon maaf kerana tidak dapat bersama-sama menjayakan konsert dan bertemu peminat.

“Bagaimanapun, Mark sampaikan salam sayang buat anda semua dan berjanji, selepas pulih,dia akan kembali melengkapkan keempat-empat kami sebagai satu kumpulan,”katanya.

Kata-kata itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton dan peminat yang secara tidak langsung, menyokong dan memberi semangat buat Mark meskipun cuma dari jauh.

Pun begitu, meski cuma bertiga, persembahan Shane, Kian dan Nicky tidak kelihatan janggal dan tetap bertenaga.

Malah, siapa sangka, Malaysia juga menjadi penanda bahawa mereka telah berupaya melangsaikan 119 konsert dalam tempoh dua tahun ini.

Berkongsi mengenai perkara itu, Shane sempat meluahkan rasa bangga kerana sepanjang tempoh itu, mereka berjaya meraih pelbagai pengalaman menarik di semua negara yang dikunjungi.

“Perasaan dapat bertemu anda semua indah sekali. Banyak kenangan manis kami rasai sepanjang berulang-alik ke sini dan banyak negara lain.

“Kami sudah menjayakan sebanyak 119 konsert dalam tempoh dua tahun bermakna empat, lima persembahan besar setiap bulan. Malaysia, ‘we flying without wings’,” kata Shane.

Pada persembahan berdurasi lebih dua jam itu, Westlife menyampaikan 25 buah lagu hits termasuk beberapa lagu penyanyi popular lain.

Antaranya Nothings Gonna Change My Love For You, Flying Without Wings, Starlight, We Are The Champions, Uptown Girl, My Love, Beautiful In White, What Makes A Man dan More Than Words.

Sebelum singgah di Genting Highlands, mereka terlebih dahulu menghiburkan peminat di Beijing, Shenzhen, Shanghai, China, disusuli Korea, Vietnam dan kini menuju Indonesia serta Singapura bagi melengkapkan jelajah di Asia Tenggara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya